Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan Indonesia cari jalan atasi masalah kesesakan penjara

    JAKARTA, 15 NOV – Menteri Penyelaras Undang-undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Hal Ehwal Penjara Indonesia, Yusril Ihza Mahendra menegaskan bahawa kerajaan sedang mengusahakan pembaharuan undang-undang bagi mengatasi masalah kesesakan penjara.

    “Pendekatan yang lebih mendalam diperlukan, termasuk penambahbaikan dalam aspek perundangan khususnya berhubung narkotik,” katanya kelmarin selepas menghadiri Majlis Anugerah Penilaian Pematuhan Perkhidmatan Awam 2024, lapor agensi berita ANTARA.

    Di bawah Undang-undang Narkotik semasa, penagih dadah di negara itu berdepan hukuman penjara. Menteri itu berkata bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan alternatif kepada hukuman penjara bagi penagih dadah dengan memberi tumpuan kepada pemulihan sebagai pilihan utama.

    Beliau turut menegaskan keperluan mencari penyelesaian segera untuk menangani kesesakan penjara, dengan lebih 50 peratus banduan ditahan berkaitan kes dadah.

    Daripada 271,385 banduan yang ditempatkan di penjara di seluruh Indonesia, seramai 135,823 dikaitkan dengan dadah. Jumlah tahanan di penjara melebihi kapasiti maksimum 140,424 orang, menyebabkan kadar kesesakan mencapai 97 peratus.

    Mahendra berkata akan berkoordinasi dengan Kementerian Imigresen dan Hal Ehwal Penjara untuk mengambil tindakan tegas dan menjalankan siasatan berhubung kejadian tujuh tahanan melarikan diri dari Pusat Tahanan Kelas I Salemba, Jakarta Pusat. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda