SEOUL, 8 JAN – Mahkamah Korea Selatan hari ini mengarahkan kerajaan Jepun membayar pampasan kepada 12 hamba seks Perang Dunia Kedua atau keluarga mereka, dalam keputusan yang menerima kecaman daripada Tokyo.
Mahkamah Daerah Seoul memutuskan Jepun harus membayar 100 juta won kepada setiap mangsa.
Ia merupakan kes perundangan awam pertama di Korea Selatan ke atas Tokyo oleh hamba seks peperangan untuk tentera Jepun, yang dilabel dengan ungkapan ‘wanita penghibur’.
Keputusan keluar meskipun perjanjian 1965 di antara Seoul dan Tokyo yang mengumumkan tuntutan di antara mereka dan rakyat mereka telah diselesaikan. Jepun bertanggungjawab terhadap sistem ‘wanita penghibur’, kata mahkamah dalam keputusannya.
“Pihak menuntut, yang berusia awal 20an, tertakluk kepada eksploitasi seksual,” menurutnya.
“Ia bersamaan dengan perbuatan salah terhadap kemanusiaan dan defendan bertanggungjawab membayar pampasan kepada mangsa atas penderitaan mental mereka.” Tokyo mengecam keputusan hari ini sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan memanggil duta Seoul untuk mengemukakan bantahan mereka, menuntut kerajaan Korea Selatan campur tangan.
“Tindakan guaman ini harus ditolak. Isu wanita penghibur di antara Jepun dan Korea Selatan telah pun diselesaikan,” beritahu Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga kepada wartawan. – AFP
