TOKYO, 16 MAC – Kerajaan Jepun akan mula menggalakkan pertumbuhan industri keselamatan siber tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat asing, lapor agensi berita Kyodo.
Sebagai sebahagian daripada rancangan yang akan dilancarkan pada tahun fiskal bermula April ini, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan jualan keselamatan siber domestik kepada lebih tiga kali ganda, melebihi 3 trilion yen (AS$20.2 bilion) dalam tempoh 10 tahun, berbanding 900 bilion yen pada masa ini, menurut Kementerian Perindustrian pada awal Mac.
Pengguna Jepun kebanyakannya memilih perisian antivirus dan perkhidmatan keselamatan siber lain daripada syarikat antarabangsa berbanding pilihan tempatan kerana rekod prestasi dan harga yang ditawarkan.
Bagaimanapun, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri menekankan bahawa adalah penting untuk membangunkan keupayaan domestik untuk menilai ancaman serta mencipta produk yang boleh mengurangkan kerosakan akibat serangan siber terhadap negara itu.
“Terdapat pelaburan yang tidak mencukupi dalam produk tempatan kerana ia tidak menguntungkan, mewujudkan kitaran ganas yang menyukarkan mereka untuk bersaing,” kata seorang pegawai kementerian.
Di bawah rancangan itu, kerajaan menyasarkan untuk mengukuhkan industri keselamatan siber domestik dengan memberikan kontrak kepada syarikat permulaan tempatan untuk menyediakan perkhidmatan dan produk bagi pejabat kerajaan serta menganjurkan pertandingan bagi mempromosikan penyelidikan dan pembangunan. – Bernama
