Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan KDYMM prihatin

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Normazlina M.D

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Dalam usaha bagi memeduli serta meringankan kesulitan dan kesusahan yang ditanggung oleh golongan daif, fakir dan miskin di negara ini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan telah membiayai pembinaan tiga buah rumah bagi tiga penerima serta pembinaan penambahan dapur dan modal perusahaan lada kisar bagi seorang penerima.

    Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Rumah-rumah Baru bagi Golongan Daif, Fakir dan Miskin dan Majlis Penyampaian Bantuan Modal Perusahaan Lada Kisar berkenaan telah diadakan hari ini.

    Penyerahan kunci dan sijil rumah bantuan diadakan di rumah-rumah penerima berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

    Majlis telah dimulakan di rumah Dayang Jemilah binti Tarib di Jalan Kapok Kanan, Kampung Kapok.

    Penyerahan sijil dan kunci rumah bantuan kepada salah seorang penerima di Kampung Tanjong Nangka, Awang Halidi.
    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti semasa Majlis Penyampaian Bantuan Pembinaan Penambahan Dapur dan Modal Perusahaan Lada Kisar, petang kelmarin.

    Rumah yang mempunyai tiga buah bilik berkenaan menelan belanja sebanyak $57,900 dan pembinaannya adalah hasil kerjasama sepadu bersama Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

    Kemudian, majlis diteruskan lagi di rumah Awang Samsudin bin Haji Pandin di Jalan Pengkalan Batang, Kampung Putat. Pembinaan rumah banglo dengan empat buah bilik tersebut menelan belanja $47,100 dan hasil kerjasama sepadu bersama Jabatan Perdana Menteri melalui Projek Bantuan Perumahan Golongan Daif, Fakir dan Miskin.

    Isteri penerima, Dayang Saadiah binti Haji Yahya bagi mewakili keluarga beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kehadapan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui MUIB kerana dapat meringankan beban mereka sekeluarga yang kini dapat berteduh di rumah sendiri dengan selesa.

    Majlis diteruskan lagi pada sebelah petang dengan penyerahan bantuan rumah baru bagi Awang Halidi bin Haji Alim di Kampung Tanjong Nangka.

    Rumah yang didiami lapan orang penghuni dengan empat buah bilik itu menelan kos sebanyak $73,300. Pembinaannya dilakukan dengan kerjasama sepadu bersama Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

    Awang Halidi ketika ditemui telah merakamkan ribuan terima kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam pembinaan rumah baru yang diberikan kepada beliau dan isteri berserta enam orang anaknya yang kini tidak lagi perlu menyewa rumah seperti sebelumnya.

    Dengan adanya rumah baru tersebut, katanya, mereka sekeluarga akan dapat berteduh daripada hujan panas di rumah sendiri.

    Perbelanjaan bagi pembinaan ketiga-tiga rumah tersebut diambil sepenuhnya daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat MUIB.

    Antara rumah bantuan daripada hasil Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin MUIB.
    Dayang Saadiah ketika ditemui pihak Media Permata.

    Bantuan berkenaan bertujuan bagi memelihara kesejahteraan dan kebajikan golongan yang memerlukan dan memenuhi hasrat mereka untuk dapat memiliki tempat tinggal sendiri yang lebih baik, selesa dan selamat untuk berteduh.

    Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian bantuan pembinaan penambahan dapur dan modal perusahaan lada kisar kepada Haji Ismail bin Haji Muhd Said di Kampung Bukit Panggal, Tutong.

    Bantuan berjumlah $23,117 berkenaan juga diambil daripada peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin.

    Isteri Haji Ismail, Dayang Aini binti Lama memberitahu bahawa beliau telah membuka perusahaan lada kisar sejak tahun 1997 dan menurutnya, beliau mendapat kesulitan menghasilkan lada kisar kira-kira lima tahun kebelakangan, yang mana mesin pengisar lada sejenis Robot Coupe yang digunakan telah rosak dan hanya memakai pengisar kecil yang hanya dapat menampung 50 gram lada kisar dan menyukarkan beliau berniaga.

    Menurut Dayang Aini, kehidupan mereka semakin susah pada 2005 dan hanya mengharapkan perniagaan lada kisar bagi menampung keluarga, tambahan lagi dengan pengisar lada mereka rosak.

    Jelasnya, dengan menggunakan mesin Robot Coupe, beliau dapat menghasilkan 3kg lada kisar yang boleh menghasilkan 60 hingga 70 paket jika menggunakan mesin pengisar. Bagaimanapun beliau sukar menghasilkan walaupun setengah kilogram tanpa menggunakan mesin sambil menambah yang kini beliau telah memiliki lebih 10 buah pengisar namun kebanyakannya rosak.

    Haji Ismail bersama isteri dengan perasaan terharu menjunjung kasih kehadapan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas kemudahan yang diberikan untuk beliau menjalankan perusahaan.

    Agihan wang zakat ini diharap akan dapat meringankan beban dan meningkat lagi semangat penerima untuk terus berusaha meningkatkan taraf kehidupan dan dengan harapan semoga para asnaf fakir dan miskin akan sentiasa taat menunaikan perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala laranganNya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda