Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan komited tingkatkan produktiviti awam

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ketiga hari ini telah membentangkan rang anggaran Belanjawan Negara bagi Tahun 2024/2025 Kewangan yang memfokuskan tiga keutamaan.

    Yang Berhormat Dato terlebih dahulu menghuraikan bahawa komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti awam ini adalah demi memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat dengan meletakkan asas kepada penduduk yang lebih sihat, berpendidikan dan produktif agar generasi semasa dan akan datang dapat sama-sama menyumbang kepada kestabilan sosioekonomi negara ke arah masa depan yang lebih makmur.

    Kerajaan juga akan terus melabur kepada pembangunan infrastruktur dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat dan penduduk yang meliputi pelbagai sektor termasuk pengangkutan, telekomunikasi dan kemudahan asasi seperti pembekalan air dan elektrik, memperluaskan rangkaian perkhidmatan dan penyediaan perumahan negara.

    Oleh itu, beberapa peruntukan telah disediakan di bawah fokus iaitu pertama, bagi memenuhi permintaan bekalan elektrik yang semakin meningkat dan memastikan bekalan yang mencukupi, berkualiti serta reliable dengan harga rancangan sebanyak $400 juta secara keseluruhan disediakan bagi melaksanakan sebanyak 36 buah projek di bawah RKN12 termasuk Pembinaan Janakuasa Combined Cycle Bukit Panggal Fasa 2 serta menaik taraf dan mengukuhkan sistem rangkaian di seluruh negara.

    Kedua, bagi memastikan rakyat mempunyai tempat kediaman yang selesa, penyediaan perumahan yang selamat, berkualiti dan mampu untuk dimiliki, kerajaan telah menyediakan harga rancangan sekitar $277 juta bagi melaksanakan sembilan buah projek di bawah RKN12 untuk meningkatkan penyediaan perumahan negara antaranya di Kampung (Kg) Lugu Fasa 2B, Kg Rimba Fasa 6, Kg Salambigar, Kg Lumut Fasa 7 dan Kg Tanah Jambu.

    Ketiga, bagi pembekalan air yang bersih secara lebih efektif dan reliable kepada orang ramai, kerajaan akan memperuntukkan harga rancangan sebanyak $261.1 juta di bawah RKN12 bagi menaik taraf dan memperbaiki sistem loji-loji dan kolam-kolam rawatan serta sistem pembetungan di seluruh daerah.

    Penjelasan lebih lanjut mengenai peruntukan-peruntukan boleh diakses menerusi Media Permata Online di https://mediapermata.com.bn.

    Sebanyak $261.1 juta di bawah RKN12 diperuntukkan bagi menaik taraf dan memperbaiki sistem loji-loji dan kolam-kolam rawatan serta sistem pembetungan di seluruh daerah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda