SEOUL, 26 MAC – Badan siasatan rasmi Korea Selatan menyatakan kerajaan bertanggungjawab atas penyalahgunaan dalam pengambilan kanak-kanak tempatan sebagai anak angkat, termasuk pemalsuan rekod dan persetujuan yang tidak mencukupi, dan mencadangkan permohonan maaf rasmi dari negara.
“Telah terbukti negara telah mengabaikan tanggungjawabnya sehingga mengakibatkan pelanggaran hak asasi manusia kanak-kanak angkat yang dilindungi oleh perlembagaan dan perjanjian antarabangsa semasa proses menghantar ramai kanak-kanak ke luar negara,” kata Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian Korea Selatan dalam satu kenyataan.
Negara itu – kini merupakan ekonomi keempat terbesar di Asia dan kuasa budaya global – kekal sebagai salah satu pengeksport anak damit terbesar di dunia dan telah menghantar lebih daripada 140,000 kanak-kanak ke luar negara antara tahun 1955 dan 1999.
Pengambilan anak angkat antarabangsa bermula selepas perang Korea sebagai cara untuk mebuang kanak-kanak kacukan, yang dilahirkan oleh ibu-ibu tempatan dan bapa tentera GI Amerika, dari negara yang menekankan keseragaman etnik.
Ia menjadi perniagaan besar pada tahun 1970an hingga 1980an, mendorong agensi pengambilan anak angkat antarabangsa meraih berjuta-juta dolar ketika negara mengatasi kemiskinan pasca perang dan berdepan pembangunan ekonomi yang pesat.
Baru-baru ini, pencetus utama adalah anak yang dilahirkan oleh wanita yang belum berkahwin, yang masih berdepan pemulauan dalam masyarakat patriarki, dan menurut para akademik, sering dipaksa untuk melepaskan anak-anak mereka. – AFP
