Kerajaan kurangkan proses pelaburan

PUTRAJAYA, 11 JUN – Jumlah proses bagi permohonan pelaburan akan dikurangkan dalam usaha untuk mempercepatkan kelulusan dan merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini, beliau berkata peniaga dan pelabur berdepan kesukaran berikutan mereka perlu melalui  proses yang panjang dan banyak sebelum mendapat kelulusan untuk melabur.

“Kami melihat peniaga dan pelabur mendapati sukar untuk mendapat kebenaran untuk melabur dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

“Kami mendapati terdapat sehingga 60 proses yang perlu dilalui untuk pembinaan, sebagai contohnya,” katanya. Menurut beliau, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar telah diarahkan untuk mengkaji dan mengurangkan jumlah proses itu dan begitu juga agensi yang terlibat dalam meneliti cadangan pelaburan.

Ini, katanya akan mengurangkan masa yang diambil bagi kelulusan dalam sektor berkaitan  perindustrian dan pembinaan. Dr Mahathir memberikan contoh permohonan bagi projek pembinaan perumahan yang mengambil masa sehingga tiga tahun untuk kelulusan, yang menyebabkan pemaju perlu menanggung kos tinggi. – Bernama

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Bangunan Perdana Putra hari ini. Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. -Bernama