Kerajaan M’sia kekal subsidi minyak masak kampit 1kg

PUTRAJAYA, 22 JUN – Kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun ini bagi menanggung kategori minyak masak kampit satu kilogram (kg), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata program subsidi yang telah bermula sejak Jun 2007 itu merupakan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan bagi minyak masak kampit berharga RM2.50 satu kilogram untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40, berbanding harga pasaran sebenar iaitu RM9.00.

“Minyak masak yang disubsidi oleh kerajaan ialah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan, melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55,000 tan metrik sebulan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini, yang turut menjelaskan mengenai kekeliruan berhu-bung subsidi minyak masak.

Menurutnya tahun lepas jumlah subsidi minyak masak yang ditanggung kerajaan adalah RM2.2 bilion manakala pada 2020 sebanyak RM500 juta.

Dalam sidang media itu, Ismail Sabri menjelaskan subsidi untuk minyak masak berbotol satu kg, dua kg, tiga kg dan lima kg tidak diteruskan bermula 1 Julai ini kerana ia adalah program subsidi sementara yang diperkenalkan kerajaan sewaktu pandemik COVID-19 bagi membantu Keluarga Malaysia yang terkesan.

Menurutnya program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol yang diperkenalkan pada Ogos 2021 pada asalnya hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan, namun program itu bersambung selepas tiga bulan.

Bagaimanapun katanya kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi itu banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan. – Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas di Bangunan Perdana Putra kelmarin. – Bernama