Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan NZ isytihar darurat

    WELLINGTON, 14 FEB – Kerajaan New Zealand hari ini mengisytiharkan darurat selepas Siklon Gabrielle membadai bahagian utara negara itu, dengan apa yang disifatkan oleh pegawai sebagai kejadian cuaca paling buruk yang melanda negara itu sejak bertahun-tahun.

    Seorang anggota bomba dilaporkan hilang dan seorang lagi berjaya diselamatkan namun dalam keadaan kritikal selepas mereka terperangkap di bawah tanah susur semalaman berhampiran bandar terbesar, Auckland, menurut pihak berkuasa.

    Auckland ditenggelami air dua minggu lalu selepas dilanda ribut paling kuat sehingga mengorbankan empat orang.

    Pengisytiharan darurat itu membolehkan kerajaan membantu wilayah yang terjejas dan memberikan sumber tambahan, menurut kenyataan kerajaan. Ia merupakan kali ketiga perintah darurat pernah diisytiharkan di negara itu.

    New Zealand dibadai oleh hujan lebat semalaman dan memaksa kira-kira 2,500 orang untuk berpindah dan mengakibatkan kejadian banjir berleluasa, penutupan jalan raya termasuk laluan utama antara Auckland dan ibu kota Wellington, dan menyebabkan masyarakat terpisah dan tanpa telekomunikasi.

    Keadaan cuaca semakin reda hari ini ketika sistem cuaca menuju tenggara merentasi lautan jauh dari New Zealand, negara yang mempunyai lima juta orang penduduk.

    Tetapi 225,000 buah rumah dan perniagaan kekal tanpa bekalan tenaga dan orang ramai masih dipindahkan, menurut laporan perkhidmatan kecemasan.

    Grid tenaga tidak pernah mengalami kerosakan seperti itu sejak 1988, apabila Siklon Bola menjadi salah satu ribut paling ganas pernah melanda New Zealand, kata Perdana Menteri, Chris Hipkins.

    Perintah darurat tersebut termasuk enam wilayah di mana kecemasan tempatan telah pun diisytiharkan. Kawasan itu ialah Auckland, wilayah Northland, Tairawhiti, Teluk Plenty, Waikota dan Teluk Hawke’s.- AP

    Kenderaan cuba mengelak daripada pokok yang tumbang di Auckland, New Zealand selepas Siklon Gabrielle melanda negara itu.- AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda