Monday, May 20, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    Kerajaan pastikan proses pengambilalihan MASWings lancar

    KUCHING, 20 JULAI – Kerajaan Persekutuan akan memastikan proses pengambilalihan MASWings berjalan lancar agar visi Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri dapat direalisasikan segera, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Beliau berkata perbincangan antara kerajaan negeri Sarawak dengan Khazanah Nasional Bhd berhubung pengambilalihan itu turut berlangsung dengan baik.

    “Dengan adanya syarikat penerbangan itu nanti (di bawah kerajaan Sarawak), ia bukan sahaja akan tertumpu kepada perkhidmatan di luar bandar, tetapi syarikat itu boleh dikembangkan sebagai syarikat penerbangan serantau.

    “Saya yakin syarikat penerbangan ini mampu berkembang maju kerana Sarawak mempunyai kewangan yang kukuh. Syarikat penerbangan memerlukan sumber kewangan untuk beroperasi dan Sarawak mempunyai modal yang besar,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memeterai memorandum persefahaman pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan di sini hari ini.

    RAS adalah perkhidmatan udara tidak ekonomik bagi memenuhi keperluan sosial penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial Kerajaan Persekutuan kepada penduduk luar bandar di kedua-dua negeri.

    Kos penyediaan perkhidmatan RAS oleh syarikat operasi ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dalam bentuk subsidi dan bayaran sewa pajakan pesawat.

    Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Loke berkata RAS masih diuruskan oleh MASWings dan kementerian itu komited untuk meneruskan subsidi walaupun selepas Sarawak mengambil alih syarikat penerbangan itu.

    “Subsidi yang diberikan kepada MASWings akan diteruskan. Subsidi itu berjumlah kira-kira RM210 juta setahun untuk Sabah dan Sarawak, dan akan diteruskan. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar ((RAS) antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    17,000 warga emas di Jepun meninggal dunia sendirian di rumah

    TOKYO, 19 MEI - Satu tinjauan terkini oleh Agensi Polis Kebangsaan Jepun (NPA) menunjukkan bahawa 17,034 warga emas yang tinggal bersendirian telah meninggal dunia...