HORLIVKA, 28 Dis – Pihak berkuasa Ukraine dan pemberontak pemisah yang disokong Rusia semalam telah membuat pertukaran tahanan terbesar sejak bermulanya konflik bersejarah di timur negara itu menandakan kemajuan dalam pelaksanaan perjanjian damai 2015.
Pemberontak dari republik pemisah yang diisytiharkan sendiri di wilayah Luhansk dan Donetsk telah menyerahkan lebih 74 orang tahanan, manakala kerajaan Ukraine menyerahkan seramai 233 orang. Sesetengah mereka ditahan selama lebih setahun.
Larisa Sargan, jurucakap wanita bagi pejabat pendakwa raya Ukraine berkata melalui Facebook bahawa salah seorang daripada 74 tahanan yang dibebaskan oleh pihak pemisah mengatakan dia akan menetap di Donetsk.
Dengan membawa barang kepunyaan mereka, para tahanan ditukar di bandar Horlivka dan di perkampungan Zaitseve, di kawasan yang membahagikan kawasan pemisah dan Ukraine. Salah seorang mereka memegang seekor kucing.

“Saya bebas dari neraka. Saya telah terselamat,” kata Yevhen Chudentsov, yang telah menyertai salah satu batalion sukarelawan Ukraine di timur dan ditahan pada Februari 2015.
Chudentsov berkata dia menghadapi ancaman dan dibelasah ketika berada dalam tahanan pemberontak menyebabkan gigi hadapannya patah.
Pada mulanya dia dijatuhi hukuman mati, kemudian diubah kepada 30 tahun dalam penjara.
Menurutnya selepas pembebasannya di Horlivka dia akan menyertai tentera Ukraine sekali lagi. – AP