Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan Persekutuan akan muktamadkan butiran projek Pusat Kanser Sarawak – Dr Sim

    KUCHING, 9 OKT – Kerajaan Persekutuan akan memuktamadkan butiran berkaitan projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak yang masih dalam peringkat cadangan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

    Beliau berkata  Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kini sedang melaksanakan makmal penilaian bagi meneliti aspek pelaksanaan projek berkenaan.

    Dr Sim berkata, penilaian itu akan menentukan tarikh permulaan projek, kapasiti katil serta jumlah kos pembangunan keseluruhan.

    “Mereka akan memuktamadkannya, walaupun sebelum ini kita (Kerajaan Sarawak) telah mencadangkan pusat itu mempunyai 300 katil. Namun, perkara itu turut bergantung kepada MOF kerana kos operasi tahunan adalah di bawah tanggungjawab kementerian berkenaan.

    “Kos pembinaannya tidak terlalu tinggi, tetapi kos operasi tahunannya amat besar kerana pusat ini bukan sekadar klinik, ia merupakan sebuah pusat rawatan kanser,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Blockchain Borneo di sini hari ini.

    Pada 30 Mac tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan pembinaan Pusat Kanser Sarawak di Bahagian Samarahan.

    Menurut Anwar, melalui projek itu, kerajaan Sarawak mencipta sejarah apabila menjadi kerajaan negeri pertama yang mendahulukan dana bagi projek Persekutuan bagi mempercepatkan pelaksanaannya. – Bernama

    Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berucap pada majlis Perasmian Hari Pembantu Perubatan ke-14 peringkat Sarawak 2025 di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan pada 22 Mac lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda