Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kerajaan persekutuan, kerajaan Sarawak percepat infrastruktur Kapit

    KAPIT, 12 MEI – Kerajaan Persekutuan dan Sarawak akan bekerjasama rapat bagi mempercepatkan penambahbaikan infrastruktur di kawasan Kapit, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Beliau berkata walaupun ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu berbeza dengan partinya, namun kerjasama dengan kerajaan negeri dan semua wakil rakyat penting, bagi terus meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di kawasan pendalaman. 

    “Sebab dengan kerjasama ini, kita dapat mempercepatkan pelaksanaan projek-projek penting khususnya dari segi infrastruktur. Kita akan berunding bersama dan kita akan usahakan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Pra-Gawai, malam tadi.

    Beliau berkata antara infrastruktur yang akan ditambah baik seperti jalan dari kawasan pendalaman ke jalan utama, bekalan air terawat, bekalan elektrik 24 jam dan liputan rangkaian Internet 5G.

    “Kita sudah ada infrastruktur tetapi ia belum lengkap, kita harus meneruskan usaha untuk kita mendapatkan lebih banyak kilometer dan memanjangkan jalan-jalan luar bandar, supaya mana-mana kampung atau rumah panjang akan mendapat hubungan rangkaian jalan nanti.

    “Selain itu, bekalan air terawat sekarang di sini ada bekalan air bersih tetapi ia tidak (semua) terawat. Begitu juga bekalan elektrik 24 jam, sekarang ada beberapa kawasan yang tiada sistem grid elektrik dan hanya bergantung kepada sistem solar sahaja,” katanya.

    Bagi infrastruktur liputan rangkaian 5G, beliau berkata Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong, telah menyatakan kesediaannya untuk menyediakan rangkaian itu di Kapit dalam masa yang terdekat.

    “Kita tahu betapa pentingnya capaian telekomunikasi ini, sebab kalau nak tempah tiket pesawat pun kena guna dalam talian juga. Jadi saya amat berterima kasih kepada beliau kerana memberi perhatian kepada kawasan luar bandar,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...