LABUAN, 23 FEB – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM454.88 juta untuk membaiki dan penambahbaikan sistem bekalan air sepanjang 106.7 kilometer (km) di Labuan yang menyaksikan 37km atau 35 peratus daripada projek itu sudah pun siap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata kerja-kerja berkenaan membuahkan hasil positif dan aduan gangguan bekalan air berkurangan sebanyak 46 peratus berbanding pada 2023.
“Kemajuan ini menunjukkan bahawa inisiatif itu berada di landasan yang tepat, menurut pegawai yang terlibat,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim di Karnival Wilayah Persekutuan Kita peringkat Labuan di Kompleks Sukan Laut hari ini.
Selain itu, dua projek ladang solar di Tanjung Kubong dan Kampung Bukit Kalam dengan kapasiti gabungan 15 megawatt siap sepenuhnya dan menyokong keperluan harian bekalan elektrik di pulau itu yang secara purata mencecah 70 megawatt.
Beliau berkata satu lagi perkembangan penting iaitu cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok yang disifatkannya sebagai ‘pengubah keadaan’ untuk pulau itu dan bakal memberikan limpahan manfaat bagi Sabah.
“Dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, RM3 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek itu.
“Kajian sebelum ini dianggap sudah ketinggalan zaman dan tidak mencukupi untuk keperluan perancangan pada masa sekarang … menurut pegawai kajian baharu itu mesti mempertimbangkan keperluan sebenar penduduk Labuan bukan sekadar aspek teknikal,” kata Dr Zaliha. – Bernama
