TUARAN, 6 Feb – Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) memperuntukkan RM18 juta bagi projek pembinaan jambatan konkrit merentasi Sungai Damit di sini yang menghubungkan Pekan Tuaran dengan beberapa kampung berhampiran dan daerah kecil Tamparuli.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ketika mengumumkan peruntukan itu berkata projek pembinaan jambatan sepanjang 109 meter itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat serta mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.
“Projek pembinaan jambatan konkrit itu akan dimulakan dengan kajian tanah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memberi komitmen untuk proses bagi memulakan projek berkenaan.
“Apabila jambatan itu siap kelak, ia akan memberi banyak manfaat kepada penduduk di sekitar daerah Tuaran dan ia bakal menjadi pemangkin ekonomi kepada masyarakat di daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Sungai Damit hari ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau yang juga Anggota Parlimen Tuaran dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Kini penduduk di sekitar Sungai Damit hanya menggunakan jambatan gantung sedia ada untuk merentasi sungai ke Pekan Tuaran yang hanya terletak kira-kira dua kilometer dan sekiranya menggunakan kenderaan penduduk di situ perlu melalui Tamparuli yang mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke Pekan Tuaran.
Mengulas lanjut, Abdul Ramhan berkata dengan adanya jambatan konkrit itu kelak, perkhidmatan seperti polis, bomba dan Pihak Berkuasa Tempatan dapat disalurkan dengan lebih mudah dan cepat ke kawasan berkenaan.
“Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos kerajaan untuk menyelasaikan pelbagai masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan sebelum ini…kerajaan tidak perlu lagi membina kemudahan seperti balai bomba atau polis baharu yang memakan belanja lebih besar berbanding pembinaan kos membina jambatan ini.
“Selain itu pembinaan jambatan itu mampu meningkatkan lagi nilai-nilai tanah di sekitar Sungai Damit,” tambahnya.
Sementara itu, Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) berkata semua parti di bawah BN telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada bila-bila masa sahaja. – Bernama