KUALA LUMPUR, 24 JULAI – Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) telah memperoleh peruntukan RM600 juta bagi membaiki sebahagian jajaran redline yang memerlukan penyelenggaran segera di Sarawak.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jajaran redline merujuk kepada laluan asal (jalan lama) sedia ada yang dibina sebelum pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak.
“Kita (KKR) sudah melaksanakan beberapa mesyuarat berhubung perkara itu termasuk bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan kita (kerajaan pusat dan negeri) membuat keputusan bahawa keseluruhan jajaran redline sepanjang 134 kilometer (km) yang bersambung dengan lebuh raya perlu dibaiki.
“Kita baiki segera 17km dulu dan akan membina persimpangan bertingkat di kawasan Batu 8 Sarikei. Setakat ini kita sudah dapat peruntukan kira-kira RM600 juta hasil daripada penjimatan projek Lebuh Raya Trans Borneo untuk melaksanakannya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead yang ingin tahu status pembinaan LPB di Sarikei dan punca utama yang menyebabkan kelewatan penyiapannya. – Bernama
