Kerajaan Prayuth berdepan usul undi tidak percaya

BANGKOK, 31 OGOS – Parti politik Thailand hari ini mula membahaskan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan lima menteri kabinet atas tuduhan kegagalan kerajaan menguruskan wabak COVID-19 di negara itu.

Ini adalah kali ketiga perbahasan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan Prayuth sejak beliau mengambil alih kepemimpinan pada Julai 2019.

Prayuth yang juga Menteri Pertahanan dijangka terselamat daripada undi tidak percaya berkenaan yang dijadualkan pada Sabtu depan menerusi sokongan padu parti gabungan dalam kerajaan.

Menteri kabinet lain yang terlibat,  Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul; Menteri Pengangkutan Saksayam Chidchob; Menteri Pertanian Chalermchai Sri-on, Menteri Buruh Suchart Chomklin dan Menteri Ekonomi Digital dan Sosial, Chaiwat Thanakamanusorn.

Agensi Berita Thailand (TNA) melaporkan perbahasan itu akan berlangsung selama 58 jam dan 30 minit dengan parti pembangkang diberi masa 40 jam dan parti gabungan 18 jam 30 minit manakala 14 jam lagi diperuntukkan untuk menteri kabinet.

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha tiba di parlimen di Bangkok, Thailand, 31 Ogos. Ahli parlimen Thai memulakan perdebatan usul undi tidak percaya terhadapnya dan lima anggota kabinetnya. – AP

Ketua Pembangkang, Sompong Amornvivat mendakwa kerajaan yang dipimpin Prayuth gagal membendung wabak serta kerugian ekonomi yang dialami ekoran kelemahan pengurusan.

Katanya, kesalahan pentadbiran yang dilakukan perdana menteri dan lima menteri kabinet adalah membabitkan kempen vaksinasi kebangsaan yang perlahan serta pemerolehan vaksin COVID-19 tertentu saja.

Ketika Parlimen membahaskan usul undi tidak percaya, penunjuk perasaan antikerajaan turut mengancam memperhebat lagi bantahan mereka.

Dua aktivis mengumumkan mereka akan menganjurkan bantahan harian di Bangkok bermula 2 September depan, mulai 4 petang hingga 8 malam, bagi menuntut Prayuth meletak jawatan. Selain itu, penunjuk perasaan turut mengancam mengadakan rapat umum di seluruh negara.

Sejak beberapa minggu lalu, penunjuk perasaan antikerajaan kembali ke jalanan dan bertempur dengan polis yang cuba menyuraikan mereka menggunakan gas pemedih mata, peluru getah serta meriam air.

Sejak pertengahan Julai, kumpulan antikerajaan yang diterajui golongan belia, mengadakan rapat umum di Bangkok dan mengulangi tuntutan supaya perubahan politik dilaksanakan, termasuk menggesa perdana menteri meletak jawatan, Parlimen dibubarkan, perlembagaan dipinda selain pembaharuan sistem monarki. – Bernama