Monday, January 27, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan Sabah beri bantuan perumahan kepada penghuni RPTA

    KOTA KINABALU, 26 JAN – Kerajaan Sabah telah menyediakan pelbagai alternatif bantuan bagi menempatkan penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru (RPTA) untuk berpindah, namun masih terdapat segelintir penghuni yang enggan menerima tawaran tersebut.

    Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata mereka bukan sahaja ditawarkan penempatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), tetapi juga rumah lain di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    “Mereka telah menolak tawaran tersebut. LPPB tiada pilihan selain meminta mereka berpindah ke rumah alternatif sendiri. Malangnya, segelintir daripada mereka berkeras tidak mahu berpindah kerana mendapat maklumat yang tidak tepat daripada pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Joachim berkata bangunan RPTA yang usang berumur lebih 50 tahun itu tidak selamat untuk diduduki selain kos penyelenggaraan dan pembaikan memakan belanja lebih besar berbanding bayaran sewa iaitu hanya antara RM124 hingga RM170 sebulan.

    Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat penghuni yang tidak membayar sewa, menyebabkan tunggakan RPTA setakat Disember tahun lalu mencecah RM236,585.00, yang mengakibatkan LPPB mengalami kerugian berterusan.

    Joachim berkata antara syarat untuk terus menyewa adalah tidak mempunyai tunggakan sewa tetapi penghuni RPTA telah diberi kelonggaran dan masih ditawarkan rumah walaupun ada tunggakan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda