KOTA KINABALU, 27 JULAI – Kerajaan Sabah menubuhkan satu jawatankuasa khas kabinet negeri, yang akan diterajui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) bagi menangani isu Tahap Sara Diri (SSL) di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata isu yang dikenal pasti oleh jawatankuasa khas itu ialah masalah keluasan kawasan sawah yang semakin kurang, kerana dijadikan kawasan pembangunan perumahan dan kedai komersial.
“Bagi menangani isu itu, kerajaan telah meneroka kawasan penanaman padi baharu di Trusan Sapi, Beluran seluas kira-kira 2,000 ekar (809.37 hektar),” katanya dalam ucapan perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
Hajiji berkata kawasan penanaman padi baharu itu, akan dimajukan secara bersepadu oleh MAFFI dan agensinya, Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran, dengan penglibatan pihak sektor swasta serta penduduk sebagai peserta.
Sehubungan itu, beliau berkata ke-rajaan negeri melalui MAFFI kini dalam proses mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS), bagi membangunkan industri padi dan beras di Sabah.
“Pewujudan semula LPS dijangka dapat meningkatkan paras tahap Sara diri (SSL) beras negeri Sabah kepada 60 peratus, menjelang tahun 2030,” katanya.
Pada ketika ini, katanya SSL beras negeri Sabah berada pada paras 22 peratus, manakala 78 peratus keperluan beras di negeri itu, ditampung melalui beras import daripada negara-negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Pakistan. – Bernama
