Monday, February 24, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan Sarawak sedia bincang skop kerjasama Petros-Petronas

    KUCHING, 23 FEB – Kerajaan Sarawak bersedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperincikan skop kerjasama antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Menyifatkan langkah itu sebagai kolaborasi baik antara kedua-dua pihak, katanya beliau belum menerima sebarang makluman berkaitan tarikh perbincangan tersebut.

    “Kalau ada yang memanggil untuk berbincang, saya akan datanglah…yang penting ada (usaha untuk berbincang). Ia merupakan kerjasama yang baik antara kami,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sebuah klinik pergigian hari ini.

    Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata perbincangan tersebut menyentuh aspek kerjasama terutamanya melibatkan projek baharu yang akan diterokai oleh kedua-dua syarikat terbabit dalam apa jua bidang.

    Isnin lepas, Anwar pada sesi penerangan di Dewan Rakyat berkata Kerajaan Persekutuan memperakui aspirasi Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas di negeri berkenaan.

    Perdana Menteri menjelaskan hasrat itu termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO), yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025. – Bernama

    Abang Johari Tun Openg (dua kanan) melawat bilik rawatan klinik gigi D. Dentist selepas merasmikan klinik itu pada 23 Februari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda