ISTANBUL, 23 JULAI – Kerajaan Syria kelmarin menghantar beberapa buah bas ke bandar Suwayda bagi memindahkan keluarga yang terperangkap ekoran ketegangan keselamatan yang berlarutan di selatan negara itu, lapor agensi Anadolu.
Agensi berita rasmi Syria, SANA melaporkan bahawa bas-bas berkenaan mula memasuki bandar itu bagi mengeluarkan penduduk yang masih terkepung.
Beberapa foto turut disiarkan menunjukkan bas dalam perjalanan menuju ke bandar berkenaan.
Pada Isnin, seorang pegawai tempatan di wilayah Daraa di barat daya memberitahu Anadolu bahawa penghijrahan penduduk dari Suwayda ke wilayahnya masih berterusan.
Menurut pihak berkuasa tempatan di Daraa, lebih 3,500 keluarga daripada komuniti Badwi dan Druze telah melarikan diri dari kediaman mereka di Suwayda ke wilayah berdekatan.

Pergolakan tercetus pada 13 Julai apabila pertempuran meletus antara suku Badwi Arab dan komuniti Druze di Suwayda.
Keganasan semakin memuncak apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas kedudukan dan infrastruktur tentera Syria, termasuk di ibu negara Damsyik.
Serangan itu dilaporkan menggunakan ‘perlindungan komuniti Druze’ sebagai alasan, namun kebanyakan pemimpin Druze di Syria secara terbuka menolak campur tangan asing dan menegaskan komitmen mereka terhadap kedaulatan Syria yang bersatu. Gencatan senjata mula berkuat kuasa pada Sabtu.
Kerajaan baharu Syria kini sedang berusaha memulihkan ketenteraman di seluruh negara susulan Presiden Bashar al-Assad digulingkan pada 8 Disember 2024. – Bernama