Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 12 Mac – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan urus tadbir koperasi, membangunkan koperasi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, mengukuhkan koperasi dengan mengenalkan ‘Etika Amalan’ dan ‘Klinik Keadaan Pasaran’ serta program latihan asas kecekapan perniagaan mulai bulan Mac 2017 ini.
Setiausaha Tetap (Perindustrian) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Mohammad Azmi bin Haji Hanifah berkata, sebagai usaha mempertingkatkan lagi prestasi koperasi, adalah penting bagi pihak koperasi-koperasi negara ini mematuhi perundangan koperasi seperti menyediakan penyata kewangan dan mengadakan mesyuarat agung pada setiap tahun bagi memastikan ketelusan operasi koperasi dalam menjaga kepentingan ahli-ahli.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pembukaan Rasmi Bangunan Blok ‘B’ Koperasi Tanjong Maya dengan Tanggungjawab Berhad (KO-PERTAMA) di sini hari ini.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong yang juga Penghulu Mukim Tanjong Maya, ketua-ketua kampung di Mukim Tanjong Maya, ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung dan Mukim Tanjong Maya dan ahli-ahli Jawatankuasa KO-PERTAMA.

KO-PERTAMA pada masa ini giat menjalankan aktiviti menyewakan bas dan ruang bangunan. Bangunan Blok ‘B’ KO-PERTAMA yang menelan belanja $287,000 mula dibina pada 30 Disember 2015 dan siap pada 10 Oktober lalu. Bangunan itu kini disewa oleh SDT Minimart.
Haji Mohammad Azmi berkata, kejayaan membina bangunan tersebut merupakan satu pencapaian membanggakan dan membuktikan bahawa koperasi mampu untuk dikembangmajukan serta dapat membantu dalam menyediakan peluang-peluang pekerjaan terutama kepada anak-anak tempatan.
Majlis hari ini turut menyaksikan persembahan puisi bertajuk ‘KO-PERTAMA dalam Sebuah Perjalanan’ oleh sasterawan tempatan, Haji Moksin bin Haji Abdul Kadir.