Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kerajaan terus tumpu projek-projek RKN

    Oleh Sim Y. H. 

    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Sejak empat dekad kemerdekaan, Negara Brunei Darussalam telah meraih pelbagai pencapaian bermakna dalam banyak bidang.

    Ini terbukti, apabila negara beroleh kedudukan yang tinggi dalam laporan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) pada tahun 2021, yang meletakkan Negara Brunei Darussalam di tangga ke-51 daripada 191 buah negara.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah perutusan sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-40 bagi tahun 1445H/2024M, kelmarin.- GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Daripada petunjuk terbitan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu, yang mengukur taraf kehidupan dan ekonomi, maka dapatlah kita menterjemahkannya sebagai keberhasilan usaha negara dalam meningkatkan jangka hayat penduduk, kemahiran dan pendidikan serta kualiti kehidupan, selaras dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) dan matlamat-matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan mengenai pencapaian itu semasa berkenan mengurniakan titah sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke-40 bagi tahun 1445H/2024M, hari ini.

    Baginda bertitah, “Ia juga dikaitkan dengan keberkesanan inisiatif-inisiatif di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) yang telah menyumbang kepada pencapaian-pencapaian penting, di mana sehubungan ini, kerajaan Beta akan terus memberikan tumpuan kepada projek-projek strategik RKN, khususnya di bidang yang berkaitan dengan transformasi digital, yang mampu untuk memberikan impak positif dan signifikan kepada kesejahteraan rakyat dan penduduk.

    “Ia termasuk penekanan untuk meningkatkan kapasiti tenaga kerja, daya inovasi dan tahap produktiviti negara serta peluang-peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.”

    Menyentuh sedikit mengenai pembangunan ekonomi negara, Baginda Sultan bertitah merakamkan kegembiraan dengan adanya kemajuan dalam bidang bukan minyak dan gas yang memberikan akses kepada pasaran-pasaran baharu dengan meningkatkan maritime connectivity dengan negara-negara lain.

    Baginda bertitah usaha telah dilihat tercapai, apabila syarikat Muara Port Company Sdn Bhd telah berjaya merasmikan pelayaran pertama perkapalan kontena, langsung dari Pelabuhan Muara ke Pelabuhan Qinzhou, Republik Rakyat China pada 2023.

    “Pencapaian ini juga adalah seiring dengan hasrat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah hab terpenting dalam meningkatkan rangkaian perdagangan antarabangsa, khasnya kawasan BIMP-EAGA.”

    Dalam masa yang sama, Baginda bertitah, usaha juga dilaratkan kepada peningkatan projek usahasama dengan pelaburan langsung asing, antaranya dalam bidang berkaitan sekuriti makanan yang bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan import.

    “Kita juga ingin terus melihat kemajuan pengusaha-pengusaha tempatan dalam bidang-bidang yang diutamakan negara, dan meningkatkan penglibatan pengusaha-pengusaha baharu, khususnya dalam kalangan generasi muda.”

    “Keyakinan ini terbit daripada sikap orang-orang Brunei yang cekal berusaha memajukan diri, meskipun ada kalanya berhadapan dengan pelbagai cabaran.”

    Baginda Sultan seterusnya bertitah di dalam arena antarabangsa, 2024 adalah merupakan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dengan 37 buah negara luar.

    “Ini termasuk keahlian negara di pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa, khasnya ASEAN, PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Komanwel, di mana dengan jalinan hubungan diplomatik itu telah mengharumkan nama serta sekali gus profil Negara Brunei Darussalam di mata dunia.”

    Terdahulu dalam titah perutusan, Baginda bertitah nikmat 40 tahun kemerdekaan yang kita sambut merupakan kurnia Allah SWT melalui usaha dan perjuangan generasi masa kini dan orang-orang sebelum kita.

    “Pengertian kemerdekaan merangkumi aspek-aspek kebebasan dan pencapaian hidup harmoni. Inilah pengertian sejati kemerdekaan itu.

    “Kerana itu, kemerdekaan mesti dipelihara, ditanai dan dipertahankan demi kesucian agama dan kedaulatan bangsa, negara dan raja.”

    Baginda bertitah, “Ini semua memerlukan adanya perpaduan dan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat jelata, selaku tunjang ketahanan dan keutuhan negara.”

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...