LONDON, 29 JAN – Sebuah badan pemerhati berkata, hari ini, ancaman jenayah siber kepada kerajaan United Kingdom adalah cepat dan berleluasa, dengan kekurangan kemahiran siber dan sistem teknologi maklumat (IT) yang semakin lapuk adalah antara isu yang membimbangkan.
“Untuk mengelakkan insiden serius, membina daya tahan dan melindungi nilai keuntungan dari kegiatan itu, kerajaan perlu menangani ancaman siber yang dihadapinya,” kata ketua Pejabat Audit Negara, Gareth Davies, yang membuat laporan itu.
“Kerajaan akan terus merasa sukar untuk berbuat demikian sehingga berjaya menangani kekurangan kemahiran siber yang telah lama wujud, mengukuhkan akauntabiliti terhadap risiko siber dan mengurus risiko yang timbul melalui IT yang telah lapuk dengan lebih baik,” tambahnya.
Badan pemantau mendapati lebih 50 peratus jawatan dalam pasukan keselamatan siber telah menawarkan beberapa jawatan kosong pada 2023/24.
Kira-kira 228 sistem IT telah lapuk turut digunakan setakat Mac 2024, di mana pegawai tidak dapat menilai sejauh mana mereka terdedah kepada serangan.
Ketua jawatankuasa rentas parti ahli Parlimen, Geoffrey Clifton-Brown, berkata perkhidmatan awam telah dibiarkan ‘terdedah’ kerana tindak balas kerajaan ‘tidak seiring’ dengan ancaman siber yang semakin berkembang.
“Laporan badan pemantau itu mesti menjadi peringatan yang nyata kepada kerajaan untuk mengatasi ancaman paling berbahaya ini,” katanya. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/01/P21-3C-Envato_30012025.jpg)