Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerajaan UK kekurangan antibiotik

    LONDON, 18 DIS – Kerajaan United Kingdom (UK) mengaku terdapatnya kekurangan serius antibiotik untuk merawat jangkitan bakteria dalam kanak-kanak.

    ‘Protokol Kekurangan Serius’ telah dikeluarkan untuk tiga jenis ubat oral yang digunakan dalam kanak-kanak – Phenoxymethylpenicillin, yang juga dikenali sebagai penisilin V.

    Ia berlaku selepas sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak meninggal dunia di United Kingdom akibat kes serius jangkitan Streptococcus Kumpulan A (Strep A) dan kekurangan jenis antibiotik lain di Eropah dan Amerika Utara.

    Doktor dan ibu bapa telah melaporkan kesukaran mencari antibiotik untuk merawat Strep A, yang biasanya mengakibatkan sakit kerongkong, demam dan simptom seakan-akan selesema.

    Farmasi telah kehabisan stok dan beberapa kedai berkata mereka dikenakan bayaran sehingga £19 (AS$24) sekotak, apabila ia hanya berharga beberapa pound.

    Mengenai kekurangan penisilin, Menteri Kesihatan, Will Quince mengakui permintaan yang
    meningkat telah menyebabkan beberapa farmasi gagal memenuhi preskripsi.

    ”Protokol Kekurangan Serius berkenaan akan membenarkan farmasi membekalkan penisilin alternatif, yang akan memudahkan bagi pesakit dan para doktor,” tambahnya.

    Quince berkata situasi tersebut bersifat ‘sementara’ dan ‘setempat’ disebabkan jumlah kes Strep A dan Demam Scarlet.

    Kerajaan sedang bekerjasama dengan pengeluar dan pemborong untuk mempercepat bekalan, tambahnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda