LONDON, 30 MEI – Bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson telah menubuhkan satu penyiasatan bebas mengenai pengendalian kerajaannya terhadap wabak COVID.
Kini, penyiasatan tersebut ingin melihat keseluruhan kandungan pesanan yang ditulis oleh Johnson kepada pegawai-pegawai kerajaan United Kingdom (UK) lain semasa wabak menular, namun kerajaan Britain menentang permintaan untuk menyerahkan bahan tersebut.
Pengerusi penyiasatan, Heather Hallett, seorang hakim yang telah bersara, telah meminta kerajaan parti Konservatif yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Rishi Sunak, untuk mengemukakan salinan penuh pesanan WhatsApp dan buku catatan Johnson, setelah hanya diberikan versi yang telah disunting awalnya.
Pegawai kerajaan UK menyatakan bahawa mereka hanya memotong bahan yang ‘jelas tidak relevan’ dengan penyiasatan tersebut, tetapi Hallett ingin membuat penilaian sendiri. Beliau berkata, “keseluruhan kandungan dokumen yang ditentukan adalah berkaitan dengan garis penyiasatan yang sedang dijalankan oleh penyiasatan ini.”
Hallett yang mempunyai kuasa untuk memanggil keterangan dan menyoal siasat saksi di bawah sumpah, telah menetapkan tarikh akhir pada jam 4 petang waktu tempatan hari ini bagi kerajaan UK untuk menyerahkan dokumen-dokumen tersebut, yang merangkumi tempoh dua tahun bermula dari awal 2020.
Namun beberapa jam sebelum tamat tempoh, pihak kerajaan UK juga meminta lebih masa dengan alasan mereka tidak mempunyai pesanan WhatsApp atau buku catatan Johnson. Hallett menolak permintaan untuk mengubah tarikh akhir kepada hari Isnin, tetapi bersetuju untuk memanjangkannya selama 48 jam, sehingga Khamis nanti.
Penyiasatan tersebut menyatakan, jika pesanan WhatsApp dan buku catatan tidak dapat diserahkan, kerajaan UK harus menyediakan kenyataan saksi daripada pegawai-pegawai kanan yang menerangkan usaha apa yang telah diambil untuk mencarinya. – AP