LONDON, 16 FEB – Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan pelan bernilai berbilion pound bagi meningkatkan industri keluli negara itu dan memastikan kelangsungannya, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Satu rundingan telah dilancarkan untuk meneliti isu jangka panjang yang dihadapi sektor berkenaan seperti kos elektrik yang tinggi, amalan perdagangan tidak adil serta kitar semula besi buruk.
Bagi menghadapi rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan tarif ke atas produk termasuk keluli, kerajaan UK berkata sehingga £2.5 bilion (AS$3.15 bilion) akan diperuntukkan bagi menyokong industri keluli negara itu.
Bantuan akan disalurkan menerusi Dana Kekayaan Nasional yang menurut menteri boleh memberi manfaat kepada kawasan seperti Scunthorpe, Rotherham, Redcar, Yorkshire dan Scotland. Dana itu akan digunakan bagi inisiatif yang bertujuan memastikan masa depan industri keluli, termasuk penggunaan relau arka elektrik.
Pengumuman itu dibuat susulan kelulusan kerajaan untuk kerja-kerja perluasan di Lapangan Terbang Heathrow yang memerlukan 400,000 tan keluli.
Industri keluli UK telah menghadapi pelbagai cabaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk peralihan kepada kaedah pengeluaran lebih hijau di loji besar di Port Talbot, South Wales, yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan. – Bernama
