PUTRAJAYA, 1 MAC – Kerajaan sedang berusaha untuk mengatasi masalah kemiskinan susulan pandemik COVID-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana menteri berkata Kabinet telah membincangkan secara mendalam mengenai isu itu setelah menyedari masih ramai yang menanggung kesusahan walaupun kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan.
Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikannya telah dimaklumkan bahawa jumlah rakyat yang jatuh miskin akibat pandemik COVID-19 telah meningkat.
“Mereka yang dahulunya berada dalam kumpulan T20 sebahagiannya telah menjadi M40 dan sebahagian kumpulan M40 telah menjadi kumpulan B40. Mereka yang berada dalam kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin kerana kesan penguncupan ekonomi yang sedang dialami oleh negara kita,” katanya.
Dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin sempena genap setahun beliau menerajui kerajaan Malaysia hari ini, Muhyiddin berkata Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kemiskinan yang dipengerusikannya akan meneliti masalah berkenaan secara lebih terperinci dan langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan sukarela serta sektor swasta untuk bersama-sama mengatasinya.
Beliau berkata program pembasmian kemiskinan akan mengambil kira peningkatan Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) daripada RM980 kepada RM2,208 yang akan meningkatkan bilangan isi rumah miskin dan miskin tegar dan seterusnya meningkatkan bilangan kumpulan sasar.
Mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), Muhyiddin berkata rancangan itu bertujuan untuk mencapai ‘Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan” dengan dasar dan strategi yang dirangka adalah komitmen kerajaan yang prihatin terhadap permasalahan rakyat dan meletakkan ekonomi Malaysia di landasan yang lebih kukuh dan berdaya saing. – Bernama
