NEW DELHI, 7 OKT – Berikutan kebimbangan mengenai kematian yang didakwa berpunca akibat sirap ubat batuk di dua negeri India, Madhya Pradesh dan Rajasthan, Jabatan Kesihatan Negeri Kerala di selatan India mengarahkan agar tiada ubat diberikan kepada kanak-kanak bawah umur 12 tahun tanpa preskripsi doktor, kata pegawai hari ini.
Kerajaan negeri Kerala juga membentuk jawatankuasa tiga anggota bagi mengkaji penggunaan ubat batuk oleh kanak-kanak di negeri itu dan mengemukakan laporan dengan segera.
Pegawai memaklumkan bahawa setakat ini, tiada kes berkaitan sirap ubat batuk dilaporkan di Kerala. Pihak berkuasa bagaimanapun menghentikan pengedaran dan penjualan sirap ubat batuk terbabit. Pasukan penguatkuasa kawalan ubat sedang menjalankan pemeriksaan intensif di pasaran.
Laporan menyatakan 17 kanak-kanak iaitu 14 di Madhya Pradesh dan tiga di Rajasthan maut selepas mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada pengambilan sirap ubat batuk itu. – Bernama


