TOKYO, 1 MEI – Polis Jepun menahan seorang lelaki selepas dia didakwa dengan sengaja melanggar tujuh murid sekolah rendah menggunakan keretanya di bandar Osaka, barat Jepun, hari ini.
Kesemua murid yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari sekolah cedera dan dikejarkan ke hospital, namun kesemua mereka dilaporkan masih sedar.
Menurut seorang pegawai polis Osaka yang enggan dinamakan, suspek berusia 28 tahun berasal dari Tokyo.
Pegawai itu turut memetik kenyataan suspek kepada AFP selepas ditahan, “Saya sudah bosan dengan segalanya, jadi saya putuskan untuk membunuh orang dengan melanggar beberapa murid sekolah rendah menggunakan kereta yang saya pandu.”
Suspek kini ditahan kerana disyaki cubaan membunuh.
Polis memaklumkan murid-murid terlibat berumur antara tujuh dan lapan tahun. Mangsa paling parah ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang mengalami patah rahang, manakala enam lagi semuanya lelaki hanya mengalami kecederaan ringan seperti lebam dan calar.
Menurut saksi kepada Nippon TV, kereta tersebut dilihat ‘membelok secara zig-zag’ ketika merempuh murid-murid itu, dengan seorang murid perempuan berlumuran darah manakala yang lain mengalami luka ringan.
Saksi juga memaklumkan pemandu berkenaan memakai pelitup muka dan kelihatan terkejut selepas ditarik keluar dari kereta oleh guru-guru sekolah. Kejadian jenayah ganas jarang berlaku di Jepun, namun insiden mengejutkan kadang-kala terjadi. – AFP
