PESHAWAR, 9 MAC – Seorang lelaki Pakistan telah didakwa atas tuduhan membunuh selepas dipercayai menembak mati pentadbir kumpulan WhatsApp komuniti yang mengeluarkannya daripada kumpulan Whatsapp, kata pihak polis kelmarin.
Mushtaq Ahmed ditembak mati pada petang Khamis di Peshawar, ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan, kawasan yang mempunyai sejarah keganasan sektarian berdarah.
Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Ashfaq telah didakwa atas pembunuhan itu, menurut dokumen polis yang dilihat oleh AFP serta pegawai polis tempatan.
Menurut kenyataan daripada abang Mushtaq yang dilihat oleh AFP, Mushtaq didakwa mengeluarkan Ashfaq daripada kumpulan WhatsApp selepas satu pertengkaran.
Beliau berkata kedua-dua pihak telah bersetuju untuk bertemu bagi berdamai, namun mendakwa bahawa Ashfaq muncul dengan senjata dan melepaskan tembakan, membunuh abangnya.
Menurut kenyataan itu, Ashfaq bertindak dalam keadaan marah “sebagai reaksi terhadap penyingkirannya daripada kumpulan WhatsApp.” – AFP
