Pelakon Zain Saidin (gambar bawah) mengaku dia pernah mengalami masalah kolesterol tinggi kerana tidak menjaga makan berikutan masakan isterinya, Rozita Che Wan atau Che Ta terlalu sedap.
Zain, 36, berkata masalah berkenaan dialaminya sele-pas menghabiskan banyak masa di rumah ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
“Ketika PKP itu, saya memang duduk di rumah saja kerana seronok ada banyak masa bersama keluarga. Ditambah, Che Ta pun sama, dia tak boleh melakukan penggambaran drama.
“Jadi, setiap harilah dia memasak untuk kami sekeluarga. Malah, semua masakannya pula sangat sedap dan saya pun tak kawal makan sehingga mengalami kolesterol tinggi. Ketika dimasukkan ke hospital akibat ‘thinning disc’, yang menyebabkan sakit belakang pada Jun lalu, baru tahu saya mengalami kolesterol tinggi melebihi paras tujuh,” katanya.
Menurut Zain, dia yang memiliki sejarah keluarga ada kolesterol tinggi sejak itu mula menjaga pemakanan hariannya dan enggan terlepas pandang lagi.
Zain yang kini jarang berlakon, memberi tumpuan pada perniagaan kambing bakar dikenali Mmmbaek yang diusahakan bersama rakannya di kantin, Setor Gombak sejak awal tahun lalu. Zain dan Che Ta berkahwin pada 13 Disember 2013 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana, 6. Selain itu, Zain juga memiliki dua anak tiri lelaki, daripada perkahwinan terdahulu Che Ta. – Agensi