AGUA CALIENTE, Guatemala – Kumpulan terkini penghijrah Honduras berharap dapat tiba di Amerika Syarikat (AS) telah menyeberangi dengan aman masuk ke Guatemala, di bawah pemerhatian kira-kira 200 pasukan polis dan tentera Guatemala.
Kira-kira 500 orang, termasuk puluhan kanak-kanak berbaris panjang menunjukkan dokumen mereka kepada kakitangan keselamatan yang tidak bersenjata di sempadan penyeberangan Agua Caliente pada malam Selasa. Pasukan polis rusuhan membentuk barisan kedua untuk menangani sebarang bentuk ancaman.
Edilberto Hernandez, bekas pegawai polis, berdiri bersama isteri dan empat anaknya untuk menyeberangi masuk ke Guatemala. Setelah kehilangan kerjanya, dia hanya mendapat kerja sebagai buruh binaan yang dibayar gaji rendah dan memutuskan untuk membuat perjalanan bersama keluarganya ke AS.
“Keperluan kami sudah habis, disebabkan kemiskinan,” kata Hernandez.
Nasib yang menanti mereka di sempadan Mexico-AS masih belum pasti. Kumpulan sebelumnya yang ditangkap tahun lalu oleh Presiden AS, Donald Trump menjelang pilihan raya separuh penggal 2018 sudah semakin berkurangan, dengan ramai yang pulang ke tempat asal di Amerika Tengah atau menetap di Mexico.



Meskipun kenyataan retorik imigresen oleh pentadbiran Trump, ramai yang lain – hampir separuh, menurut rekod tangkapan Peronda Sempadan AS – tetap berusaha untuk memasuki AS secara haram.
Kira-kira 6,000 warga Amerika Tengah tiba di Tijuana pada November di tengah-tengah konflik di kedua-dua belah pihak sempadan berhubung kehadiran mereka di bandar Mexico sehingga San Diego. Pada Isnin sahaja, kira-kira 700 penghijrah masih lagi berada di tapak bekas konsert di Tijuana yang kerajaan Mexico dirikan sebagai tempat berteduh untuk menempatkan para penghijrah.
Ke mana mereka semua telah pergi?
Peronda Sempadan AS telah membuat 2,600 tangkapan berkaitan kumpulan itu di sektor San Diego, kata jurucakap Theron Francisco, menunjukkan bahawa hampir separuh telah menyeberangi masuk ke AS secara haram. Keluarga-keluarga tersebut biasanya dibebaskan tanpa notis untuk hadir di mahkamah imigresen.
Para pegawai Mexico berkata kira-kira 1,300 anggota rombongan itu telah kembali ke Amerika Tengah. Mexico telah mengeluarkan visa kemanusiaan kepada kira-kira 2,900 yang lain, kebanyakannya kini bekerja secara sah di sana kerana memiliki visa.
Francis Lopez antara kalangan penghijrah yang telah me-netap di Mexico. Bekas pekerja kilang pakaian itu berkata dia dan isterinya membuat keputusan kilat untuk meninggalkan rumah mereka di bandar San Pedro Sula, Hondurs apabila kumpulan itu pergi pada Oktober.
Dia berharap dapat menyertai saudaranya di Florida namun berfikir kali kedua untuk mendapatkan perlindungan selepas peguam Amerika memberitahunya dia mempunyai kes yang lemah dan mungkin ditahan sehingga arahan hakim untuk mendeportasinya.
“Ia pasti membuang masa,” kata Lopez.
Javier Diaz dari El Salvador, yang bekerja sebagai pemandu teksi di Tijuana yang memiliki visa, berkata rombongan itu menawarkan kekuatan dalam bilangannya – cukup selamat untuk mengelak membayar penyeludup pada harga kira-kira AS$8,000 untuk tiba di Amerika Syarikat.
Diaz, bekas pekerja pembinaan yang lari atas sebab ekonomi dan mengelak keganasan, berkata dia sangat berharap untuk tiba di AS untuk mencari wang bagi menyara isteri dan lima anaknya di El Salvador namun Mexico lebih baik lagi daripada pulang ke tempat asalnya.
“Jika Mexico mendeportasi saya hari ini, saya akan berada di Mexico lagi esok,” kata Diaz pada Isnin lalu di tengah-tengah hujan sekali-skala di tempat berlindungnya. “Tetapi jika saya boleh pergi ke AS, lebih baik lagi.”
Kehadiran penghijrah berkurangan di Tijuana muncul ketika ratusan warga Honduras meninggalkan bandar dilanda keganasan San Pedro Sula minggu lalu dalam kumpulan rombongan baharu yang berharap untuk dapat tiba di AS atau Mexico.
Berita terbaharu itu muncul ketika Trump berusaha untuk meyakinkan orang awam Amerika bahawa adanya ‘krisis’ di selatan sempadan untuk menjustifikasikan pembinaan tembok sempadan yang lama dijanjikan.
Permintaan Trump sekitar bilion dolar untuk membina tembok telah mengakibatkan ketegangan dengan Kongres yang memaksa penutupan sebahagian kerajaan.
“Rombongan besar baharu sedang menuju ke sempadan selatan dari Hondurs, beritahu Nancy dan Chuck yang dron akan terbang di kawasan itu tidak akan menghentikan mereka. Hanya tembok yang akan jadi penyelesaian,” tweet Trump pada Selasa lalu, merujuk kepada Speaker Dewan Demokratik, Nancy Pelosi dan Ketua Minoriti Senat, Chuck Schumer.
Rombongan itu sudah berlaku bertahun-tahun yang lalu walaupun dalam skala kecil, dianjurkan untuk menarik perhatian kepada hak-hak penghijrah yang biasanya tidak sampai ke sempadan.
Satu kumpulan yang dibentuk tahun lalu telah mendapat perhatian daripada bilangan besar mereka dan selepas Trump mula menangkap mereka atas tujuan politik. – AP