Monday, January 27, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerang terdampar bukan petanda bencana, selamat dimakan – Penyelidik UMT

    KUALA TERENGGANU, 26 JAN – Fenomena kerang terdampar di pantai Terengganu yang tular baru-baru ini bukan suatu petanda bencana, malah ia selamat dimakan.

    Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Roslizawati Ab Lah menjelaskan bahawa setiap kali musim monsun timur laut tiba, kejadian angin kencang, ombak besar, serta struktur pantai tertentu sering menjadi punca banyak kerang terdampar di pesisir pantai.

    Beliau berkata meskipun fenomena itu kelihatan luar biasa, sebenarnya ia adalah kejadian semula jadi yang lazim berlaku dan tidak perlu dirisaukan.

    “Proses kerang terdampar ini berkait rapat dengan struktur geografi pantai, kekuatan ombak, serta arah dan kelajuan tiupan angin semasa musim monsun timur laut.

    “Tiupan angin yang kuat dan pergerakan ombak besar membawa kerang-kerang ini ke pesisir pantai. Biasanya, kerang ini masih dalam keadaan baik dan boleh dimakan dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Gambar Bernama

    Bagaimanapun, Dr Roslizawati mengingatkan bahawa beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh penggemar makanan laut yang ingin mengambil peluang mengutip kerang tersebut.

    “Kerang yang terkumpul di pantai berkemungkinan terdedah kepada bakteria atau pencemaran air. Oleh itu, penting untuk memastikan ia dibersihkan dengan betul sebelum dimasak,” katanya menambah bahawa fenomena itu menunjukkan kepentingan ekosistem lautan dan pesisir pantai dalam mengekalkan keseimbangan alam.

    Terdahulu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat juga dilaporkan berkata hasil analisis makmal mengklasifikasikan kerang berkenaan sebagai Kelas B dan C, di bawah piawaian Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan (NSSP), yang perlu dimasak sempurna sebelum dimakan.

    Ruzaidi menasihati orang ramai supaya memastikan kerang yang dikutip, dimasak sepenuhnya sebelum dimakan bagi mengurangkan risiko pencemaran bakteria selain menasihatkan pengambilan kerang mentah harus dielakkan terutama bagi individu dengan sistem imun yang lemah.

    Sebelum ini, tular di media sosial aktiviti orang ramai menggunakan pelbagai cara seperti pukat ikan dan baldi untuk mengumpul hasil laut itu yang melimpah setelah terdampar di atas pasir di Pantai Sura, Dungun. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda