Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerangupan petai Tapah jadi buruan penggemar

    TAPAH – Mempunyai isi yang tebal dengan tekstur rangup, sementara rasanya pula agak lemak serta kurang pedar (pahit dan pedas), menjadikan petai dari daerah ini dambaan penggemar ulam itu setiap kali tiba musim.

    Dikatakan keistimewaan petai Tapah ini disebabkan oleh pokoknya tumbuh di kawasan berbukit dengan ketinggian melebihi 1,000 meter dari aras laut, selain usia pokok yang sudah menjangkau puluhan tahun.

    “Ada juga orang beritahu, apa juga tanaman yang ditanam di tempat tinggi, kebiasaannya lebih subur dan berkualiti daripada (pokok yang ditanam di kawasan) tanah rendah,” kongsi Deraman Tulis kepada Bernama ketika ditemui di tepi Jalan Pahang menuju Cameron Highlands, baru-baru ini.

    Menurut lelaki Orang Asli daripada suku Semai itu lagi, saiz ulas petai dari Tapah juga lebih besar berbanding tempat lain serta kurang berulat dan masih rangup sekalipun telah dipetik dan disimpan lebih seminggu.

    Deraman, 60, adalah antara orang paling sibuk setiap kali tiba musim petai, iaitu bermula Ogos hingga Disember, selaku peraih yang membeli dan menjual petai secara borong.

    Kamal Bah Kan Lok yang juga pemetik petai mengutip petai setelah diturunkan dari pokok setinggi 15 meter menggunakan tali supaya petai tidak akan rosak. – Bernama
    Masyarakat Orang Asli mengambil upah mengopek ulas petai di Perkampungan Orang Asli Pos Musoh. – Bernama
    Kamal Bah Kan Lok (kanan) menyusun biji petai dalam beg plastik untuk dijual. – Bernama
    Kamal Bah Kan Lok (tengah) dan pemetik petai, Long Bah Nyek (kanan) membawa keluar petai dari hutan di Perkampungan Orang Asli Pos Musoh. – Bernama
    Biji petai untuk dijual kepada pemborong di perkampungan Orang Asli Pos Musoh. – Bernama

    GRED PETAI

    Jelasnya, terdapat tiga jenis petai yang popular dan sering mendapat permintaan tinggi daripada para pelanggan, iaitu petai papan, petai padi dan petai kacang.

    “Kalau dari segi permintaan, petai papan menjadi kegemaran orang Melayu dan disukai kerana saiz ulas yang besar, manakala kaum Cina dan India menggemari petai padi yang berulas kecil serta kurang berbau,” katanya.

    Menurut Deraman, lazimnya dia dapat menjual 600 hingga 800 ikat petai sepanjang musim dengan setiap ikat mengandungi 90 hingga 100 papan petai.

    “Saya biasa jual gred AA hingga C. Kalau gred AA atau premium, biasanya dijual dengan harga sekitar RM100 seikat. Harga gred ini agak mahal kerana setiap pod agak besar dan panjang, mengandungi kira-kira 18 ulas isi.

    “Bagi gred A pula dijual dengan harga RM80 seikat, gred B pada harga RM60 manakala gred C berharga RM50. Bagi saya rasanya tetap sama, cuma gred dan harga ditentukan mengikut saiz serta bilangan ulas pada setiap pod petai,” jelasnya.

    Bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata sepanjang musim ulam berkenaan dia akan berjualan di tepi jalan tersebut yang menjadi laluan pengguna jalan raya ke Cameron Highlands.

    BERGADAI NYAWA PETIK RAJA ULAM

    Petai merupakan tanaman kekacang namun pokoknya ialah jenis pokok saka yang boleh tumbuh tinggi hingga 30 meter, khususnya di hutan.

    Justeru, untuk memetik buah petai, si pemetik bergadai nyawa memanjat pokok berkenaan. Namun bagi Long Bah Nyek, 42, “menakluki” pokok petai setinggi 15 meter saban hari sepanjang musim sayuran buah itu bukan satu isu besar.

    Menyifatkan kerjanya sebagai alah bisa tegal biasa, lelaki Orang Asli suku Semai itu berkata dia telah memanjat pokok petai sejak berusia 21 tahun, dan menerima bimbingan daripada bapanya sendiri yang juga bekerja memetik petai.

    “Setakat ini saya belum pernah jatuh dari pokok petai dan saya amat tekankan aspek keselamatan. Saya tidak panjat kalau hujan kerana ada risiko kilat selain batang pokok licin,” katanya, menambah pemetik petai juga berdepan ancaman serangga berbisa seperti tebuan, lebah dan penyengat.

    PETAI TAPAH KE PASAR RAYA

    Koperasi Orang Asli Pos Musoh merupakan antara koperasi Orang Asli yang aktif mengumpul petai dari hutan setiap kali tiba musim sayuran buah itu bagi memenuhi permintaan pasaran Malaysia.

    Sejak setahun lalu, koperasi itu merupakan sumber petai segar bagi rangkaian pasar
    raya Aeon Co (M) Sdn Bhd dan dijual di cawangan pasar raya berkenaan di beberapa negeri.

    Pengerusi Koperasi Orang Asli Pos Musoh, Kamal Bah Kan Lok berkata pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya 50 kilogram (kg) petai setiap dua minggu kepada syarikat Popular Meadow Sdn Bhd yang berperanan membungkus dan memasarkan produk tersebut ke pasar raya berkenaan.

    “Dua minggu sekali saya akan ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Batang Padang untuk disimpan sebelum dibungkus dan dipasarkan oleh Popular Meadow,” katanya.

    REZEKI MASYARAKAT ORANG ASLI

    Kerja mengopek ulas petai pula memberikan pendapatan sampingan kepada 15 wanita Orang Asi di pos itu.

    Bagaimanapun kata Reny Suriani, 25, kerja berkenaan tidak semudah yang disangkakan kerana mereka perlu memastikan ulas petai tidak rosak.

    “Mata pisau tidak boleh sesekali terkena isi. Kalau terkena, ulas petai itu dianggap rosak dan tidak boleh dijual.

    “Jadi, proses ini sebenarnya rumit dan memerlukan fokus bagi memastikan kualiti isi petai itu tidak terjejas dan boleh dijual mengikut harga pasaran,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

    Reny berkata kebiasaannya dia dan rakan lain mampu mengopek kira-kira 60 hingga 70kg isi petai sehari dengan upah RM4 sejam. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda