KUALA LUMPUR, 5 MEI – Seorang kerani wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pembantu rumah warga Indonesia menggunakan seterika dan air panas, sejak Mac tahun lepas.
Loke Chee Hui, 43, yang bekerja sebagai kerani di sebuah agensi pekerjaan didakwa melakukan perbuatan itu ter-hadap pembantu rumahnya di sebuah rumah di Jalan Hujan Emas 3, Taman OUG, di sini, antara 3 Mac 2022 dan 23 April lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, namun peguam Varghese Onny yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai empat orang anak berusia 2 hingga 15 tahun.
Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Jun depan untuk sebutan semula kes. – Bernama
