MIRI, 21 Mac – Seorang ahli perniagaan serta kerani syarikat menjadi mangsa terbaharu iklan tawaran pinjaman wang di Facebook yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM8,356.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kes pertama berlaku di Marudi melibatkan seorang mangsa wanita berumur 21 tahun yang bekerja sebagai kerani syarikat dengan kerugian direkodkan berjumlah RM6,300.
“Mangsa telah melihat iklan tawaran pinjaman peribadi berlesen di Facebook pada 7 Mac dan telah meninggalkan nombor telefon bimbit di ruang komen Facebook itu,”katanya dalam satu kenyataan pada petang ini.
Mustafa berkata, pada hari yang sama seorang lelaki berkongsi dengan mangsa menerusi Whatapps jadual pembayaran menggunakan nombor 016-6844821 dan mangsa bersetuju untuk memohon pinjaman berjumlah RM10,000.
“Mangsa telah menghantar gambar Mykad, slip gaji, nombor akaun Public Bank serta Bank Simpanan Nasional (BSN) milik mangsa menerusi Whatapps,”katanya sambil menambah mangsa turut membayar RM6,300 sebagai bayaran pendahuluan serta cukai kepada suspek.
Beliau berkata, mangsa merasa curiga apabila suspek meminta bayaran tambahan berjumlah RM5,000 namun wang pinjaman dipohon masih tidak diterima lalu mangsa membuat laporan polis.
Menurutnya, kes kedua melibatkan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 36 tahun di sini yang telah melayari Facebook pada 15 Mac lalu ternampak iklan pinjaman wang melalui UOB Credit Sdn Bhd dan mangsa terus mengisi butiran peribadi dalam iklan tersebut untuk memohon pinjaman.
“Pada Isnin lepas (18 Mac) mangsa dihubungi oleh suspek yang dikenali dengan nama Mr Jack menerusi nombor telefon 0109155598 dan mangsa menyatakan ingin membuat pinjaman berjumlah RM10,000,” katanya. – Bernama