Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerap periksa tekanan darah, elak hipertensi

    Oleh Erda Khursyiah Basir

    KUALA LUMPUR – “Bila kali terakhir periksa tekanan darah?” tanya doktor kepada pemandu teksi.

    “Lama dulu…mungkin 30 tahun,” lelaki berusia 52 tahun itu menjawab pertanyaan doktor yang sedang merawat dirinya yang diserang strok yang teruk dengan bacaan tekanan darahnya 200 mmHg!

    Sudah tentu jawapan pemandu teksi itu sesuatu yang memeranjatkan. Beliau kemudiannya mendapat tahu lelaki itu tidak pernah jatuh sakit sebelum ini, justeru beranggapan tidak perlu memeriksa tekanan darahnya.

    Pembunuh senyap

    Kisah pemandu teksi ini dikongsikan Profesor Dr Chia Yook Chin, Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) pada majlis kempen ‘HealthinUrHands’ oleh Omron, di sini baru-baru ini.

    Kempen berkenaan diadakan untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan mencegah serta menguruskan hipertensi menerusi pemantaun tekanan darah di rumah yang kerap.

    “Inilah antara masalah masyarakat kita. Mereka hanya jumpa doktor bila sakit! Malangnya tekanan darah tinggi yang juga dikenali sebagai hipertensi adalah pembunuh senyap.

    “Tidak ada gejala atau tanda yang anda ada tekanan darah tinggi dan seperti pemandu teksi itu. Anda akan hanya tahu apabila diserang penyakit yang teruk se-perti strok atau serangan sakit jantung. Ini amat menyedihkan, “katanya.

    Dianggarkan dua daripada tiga orang dewasa berusia 30 tahun atau lebih tidak tahu dan tidak sedar mereka mempunyai tekanan darah tinggi.

    “Salah satu sebab utama mengenai strok dan serangan sakit jantung berlaku ialah kurang kesedaran. Setiap orang dewasa perlu memeriksa tekanan darah tinggi dan jika ada hipertensi, rawatan boleh diberi.

    “Ramai yang tidak sedar kegagalan membuat pemeriksaan tekanan darah boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit kardiovaskular seperti serangan sakit jantung dan strok yang boleh menyebabkan kematian, ” tambah Dr Chia.

    Setiap tahun dianggarkan seramai 40,000 rakyat Malaysia menderita serangan strok dan ia bukan hanya melibatkan warga emas tetapi juga golongan muda.

    Satu perkara yang perlu diambil berat ialah penyakit hipertensi dilaporkan semakin meningkat dengan lebih 30 peratus orang dewasa berusia 18 tahun ke atas mengalami tekanan darah tinggi.

    Oleh yang demikian, amat penting untuk setiap orang dewasa di negara ini memeriksa tekanan darah mereka secara kerap.

    Kerap lakukan pemeriksaan tekanan darah bagi mengelakkan masalah hipertensi.

    Ketahui tekanan darah

    Hipertensi boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu primer dan sekunder.

    Hipertensi primer (juga dipanggil hipertensi ‘essential’) biasanya berlaku kepada orang dewasa tanpa punca yang boleh dikesan dan akan berterusan bertahun-tahun lamanya.

    Hipertensi sekunder pula mungkin berpunca daripada pelbagai keadaan  seperti penyakit buah pinggang serta pengambilan ubat yang mungkin melonjakkan tekanan darah.

    Menjelaskan lebih lanjut, Dr Chia berkata pemerikasaan tekanan  darah yang kerap serta mengambil kira sebarang perubahan termasuk peningkatan boleh membantu seseorang itu menyedari tahap kesihatannya.

    “Tekanan darah normal adalah antara 120/80 mmHg dan 140/90 (120/80-140/90). Sebarang bacaan yang sama atau melebihi 140/90  dianggap tinggi dan sekiranya ia kekal begitu, doktor akan meminta lebih bacaan dibuat untuk tempoh beberapa hari atau beberapa minggu.

    “Faktor persekitaran juga boleh menyumbang kepada peningkatan tekanan darah, termasuk tekanan yang mungkin ramai mengalaminya apabila mahu berjumpa doktor. Bagaimanapun, sekiranya bacaan masih lebih daripada 140/90 selepas beberapa kali bacaan, pesakit akan dianggap menghidap hipertensi, ” tambahnya.

    Beliau turut menekankan terdapat banyak faktor risiko yang berkait dengan hipertensi seperti umur (orang yang lebih tua mempunyai risiko yang lebih tinggi), genetik atau sejarah keluarga serta keadaan kronik seperti penyakit buah pinggang, gaya hidup kurang sihat (pemakanan kurang sihat, kurang senaman), obesiti, merokok, terlampau banyak minum alkohol dan pengambilan garam yang berlebihan.

    “Meskipun tekanan darah tinggi lebih lazim untuk orang yang lebih tua, keadaan ini juga boleh menimpa golongan muda terutamanya mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti tidak bersenam, makan terlalu banyak makanan segera dan mempunyai lebihan berat badan.

    “Orang ramai boleh menukar gaya hidup dengan mengurangkan pengambilan garam termasuk sodium yang berbentuk lain dan mungkin tersembunyi dalam makanan yang diproses, roti dan sos bagi mengelakkan atau mengawal tekanan darah.

    “Meskipun ada sesetengah faktor berisiko seperti sejarah keluarga yang tidak boleh diubah, yang lainnya boleh dikawal menerusi rawatan dan pengambilan ubat, ” jelasnya.

    Rawatan dan ubat

    Sesetengah pesakit bimbang untuk mengambil ubat untuk mengawal tekanan darah tinggi kerana kepercayaan pengambilan ubat yang berterusan untuk tempoh yang panjang boleh menyebabkan kesan sampingan terutama kerosakan buah pinggang.

    Mengulas perkara ini, Perunding Pakar Kardiologi di Gleneagles Hospital Kuala Lumpur Dr Azani Mohamed Daud, yang turut berada di majlis berkenaan menekankan pengambilan ubat yang betul untuk mengawal tekanan darah tinggi akan membantu melindungi buah pinggang dan bukan merosakkannya.

    “Pesakit sering bimbang dan bertanya apakah buah pinggang mereka akan terjejas dengan pengambilan ubat. Kita perlu mendidik mereka dan memperbetulkan salah tanggapan yang pengambilan ubat secara berpanjangan boleh merosakkan buah pinggang. Kita juga perlu menjelaskan kepada pesakit tekanan darah tinggi yang tidak dikawal boleh menyebabkan kerosakan dan kegagalan buah pinggang. Keadaan ini kemudiannya memerlukan dialisis.

    “Sama juga dengan pesakit diabetes, mereka menanggung risiko kerosakan buah pinggang yang lebih tinggi sekiranya paras gula tidak dikawal dan tinggi mungkin boleh merosakkan buah pinggang. Pesakit yang mempunyai tekanan darah tinggi serta paras gula yang tinggi menanggung risiko kerosakan buah pinggang lebih tinggi, ”  jelasnya.

    Apakah pesakit boleh menghentikan pengambilan ubat sekiranya tekanan darah mereka kembali seperi biasa?

    Menjawab soalan berkenaan, Dr Azani berkata apa yang perlu difahami ialah pengambilan ubat hanya boleh mengawal tekanan darah tinggi dan bukan mengubatinya.

    Bagaimanapun, sekiranya pesakit berhenti daripada mengambil ubat, tekanan darah akan kembali tinggi.

    “Jadi jawapannya ialah Tidak. Sekiranya tekanan darah dikawal dengan pengambilan ubat, tolong teruskan mengambil ubat itu, ” katanya.

    Beliau turut menekankan agar mereka yang disahkan menghidap tekanan darah tinggi agar selalu berjumpa doktor mereka dan menjalani pemeriksaan kerap untuk memastikan tekanan darah tinggi mereka terkawal.

    Apabila seseorang itu semakin meningkat usia, terdapat kecenderungan untuk tekanan darah meningkat lagi akibat saluran darah mengeras dan mungkin pengambilan ubat perlu ditambah.

    “Sekiranya pesakit hanya mengambil ubat yang sama tanpa pemeriksaan lanjutan, mungkin ada risiko tekanan darah meningkat yang boleh menyebabkan strok, serangan sakit jantung dan kerosakan buah pinggang, ” kata Dr Azani. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda