KUALA NERUS, 27 Feb – “Seumur hidup, ini kali pertama tengok ikan besar gining (macam ni)! Dok rajin napok, serung rasa! (Tak pernah nampak, takut sangat rasa).
Itu antara reaksi spontan ribuan pengunjung Ekspo Terengganu 2018 yang terkejut melihat saiz sebenar ikan kerapu kertang hibrid dan lembu hibrid atau lebih dikenali sebagai lembu sado yang dipamerkan di ekspo berkenaan.
Reaksi terkejut juga dapat dilihat melalui mimik muka pengunjung terutama kanak-kanak yang teruja dengan kehadiran ikan kerapu dan lembu yang saiznya berkali ganda berbanding saiz normal spesies berkenaan dan sekali gus menjadikan sudut pameran haiwan itu antara tumpuan ribuan pengunjung ke ekspo itu.
Perkataan pertama yang terucap dari mulut mereka juga menggambarkan betapa kagumnya mereka dengan kedua-dua jenis haiwan itu yang terhasil susulan projek penambahbaikan dua jabatan kerajaan iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Tanjung Demong di Besut.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar swafoto bersama dua spesies haiwan berkenaan.
Ikan kerapu kertang atau nama sainstifiknya Epinephelus Lanceolatus itu dibawa khas dari FRI Tanjung Demong diternak untuk menghasilkan benih induk jantan kerapu bagi keperluan industri.
Ia dipamerkan di ekspo itu untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri kecemerlangan FRI Tanjung Demong dan Jabatan Perikanan dalam membangunkan industri penternakan benih ikan kerapu untuk memenuhi keperluan penternak di sekitar Terengganu. – Bernama