Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerbau naik minyak

    KUALA BELAIT, 2011 – Seorang lelaki tempatan berusia 50an cedera dan patah tangan kiri ditanduk seekor kerbau yang terlepas, setelah ikatannya terlerai sebelum sempat disembelih untuk majlis korban di kawasan Kampung Pandan di sini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 2:00 petang itu, lelaki malang itu turut cedera di salah satu ibu jarinya dipercayai dipijak kerbau yang mengamuk.

    Kerbau itu yang merupakan salah seekor daripada enam ekor kerbau untuk dikorbankan, terlepas daripada ikatannya dan merempuh sebuah kereta jenis salon yang melintasi jalan berkembar di Jalan Singa Menteri.

    Kereta yang disondol oleh kerbau itu rosak teruk di bahagian hadapan, bagaimanapun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Kerbau itu kemudiannya terus lari dengan liar dan sukar dikawal.

    Bagaimanapun ia akhirnya ditemui berkubang dalam sebuah kawasan tanah lumpur di tepi jalan menuju ke Rasau. Sebelum itu, salah seorang lelaki yang hendak membawa kerbau itu kembali ke ikatannya cuba menghampirinya, namun kerbau itu naik minyak dan terus menyodolnya sehingga terpelanting ke jalan.

    Kerbau itu meluru ke arahnya dan lelaki itu terjatuh sehingga tertindih bahagian tangannya yang menyebabkan ia patah.

    Sebuah ambulans bersama kakitangan perubatan berkejar ke tempat kejadian dan membawa lelaki yang cedera itu ke Hospital Suri Seri Begawan untuk mendapatkan rawatan.

    Menurut saksi lagi seramai empat orang yang cuba menahan kerbau lari itu turut mendapat cdera ringan, termasuk seorang lagi lelaki yang dikatakan koyak rabak seluarnya ekoran tersangkut tanduk kerbau yang lari dan turut mengalami luka di bahagian kedua-dua belah lututnya.

    Kerbau itu pada kira-kira pukul 5:00 petang dikatakan dilihat, berada di kawasan pantai dan apabila cuba ditangkap, ia lalu melarikan diri masuk ke dalam air di tepian pantai tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda