EASTBOURNE, 26 JUN – Juara Wimbledon Angelique Kerber mara ke pusingan ketiga Kejohanan Tenis Antarabangsa Eastbourne dengan Kiki Bertens, Johanna Konta, Caroline Wozniacki dan Simona Halep juga melangkah ke pusingan 16 terbaik pada awal pagi ini.
Kerber mara ke separuh akhir Terbuka Mallorca pada minggu lalu untuk memulakan musim gelanggang rumput dan berharap dapat menjulang gelaran pertamanya tahun ini di Eastbourne, di mana dia sebelum ini pernah mara ke final sebanyak dua kali.
Lawannya, Stam Stosur adalah salah satu lawan tuan rumah yang bertarung dua perlawanan dalam sehari selepas perlawanan semalam terpaksa ditangguhkan berikutan hujan.
Pemain veteran Australia itu menewaskan pemain Amerika Syarikat, Sofia Kenin pada pusingan pertama tetapi tidak dapat menyaingi kekuatan Kerber apabila pemain Jerman itu menewaskannya 6-4, 6-4.
“Rasa seronok dapat kembali ke sini, satu lagi permainan yang baik di gelanggang rumput sebelum ke Wimbledon,” kata Kerber.
“Itu adalah sebab utama mengapa saya ke sini. Saya suka bermain di gelanggang rumput, jadi saya cuba menikmati setiap perlawanan dan setiap saat ketika ini.”
Bertens juga berada dalam prestasi terbaiknya apabila pemain pilihan ketiga kejohanan itu menghantar pulang Yulia Putintseva 6-4, 6-1. – AFP
