STUTTGART, Jerman, 26 April – Angelique Kerber berjaya melunaskan dendam apabila menewaskan bintang Republik Czech, Petra Kvitova 6-3, 6-2 dalam aksi pusingan pertama Terbuka Stuttgart, awal pagi hari ini.
Kedua-dua pemain itu bertemu di gelanggang yang sama – Porsche Arena – pada Ahad lalu dalam pertarungan separuh akhir Piala Fed yang dimenangi Kvitova.
Kerber yang juga bekas pemain nombor satu dunia dan sekarang menduduki ranking ke-12, kelihatan lebih bersedia menghadapi Kvitova apabila menafikan pemenang dua kali Wimbledon itu daripada merakam kemenangan ketiga berturut-turut ke atasnya.
Kerber beroleh kemenangan pada titik ketiga perlawanan selepas 77 minit aksi apabila pukulan Kvitova tersasar jauh.
“Bulu roma saya meremang apabila masuk ke dalam gelanggang,” kata Kerber. “Ia bukannya perlawanan yang mudah.
“Pasukan saya sudah menganalisa dan belajar daripada kekalahan sebelum ini. Saya amat gembira atas kejayaan mara ke pusingan kedua ini.
“Saya tahu apa yang mampu dilakukan Petra, saya cuba bermain agresif dan menguasai permainan. Saya sentiasa perlukan masa untuk mendapat rentak.”
Pilihan pertama Halep yang mara separuh akhir kejohanan ini tahun lepas, menang pusingan kedua ke atas Magdalena Rybarikova dari Slovakia dengan jaringan 4-6, 6-2, 6-3.
Halep juga mengatasi masalah pinggul pada set pertama tetapi tidak memerlukan masa rehat bagi perubatan dalam perlawanan itu.
Sementara itu, lawan Kerber seterusnya ialah pemain nombor 31 dunia, Anett Kontaveit yang membenam cabaran Kristina Mladenovic 5-7, 7-6 (7/3), 7-6 (7/5). – AFP