Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    ‘Kerelevanan perpustakaan dalam revolusi industri’

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Perkembangan revolusi industri setentunya memberikan cabaran kepada perkembangan Bahasa Melayu, lebih-lebih lagi dalam Revolusi Industri 4.0 yang memperlihatkan penggunaan dunia digital secara dominan.

    Malah, kemajuan teknologi ini turut memberikan kesan besar kepada keupayaan perpustakaan sebagai sebuah gedung ilmu yang juga ikut berperanan dalam pemartabatan Bahasa Melayu menerusi perkhidmatan dan penyediaan pelbagai sumber maklumat serta bahan bacaan kepada masyarakat.

    Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapannya pada Tamu Bahasa ke-4 (Forum Bahasa) yang diadakan secara maya, hari ini, sempena Sambutan Bulan Bahasa 2021.

    Walau bagaimanapun, tambah beliau, peranan perpustakaan akan tetap terus relevan sejajar dengan perkembangan revolusi industri iaitu dengan melakukan perubahan serta mengambil pelbagai langkah dan pendekatan agar perpustakaan akan terus kekal menjadi pusat sumber maklumat yang utama.

    Untuk itu, tamu bahasa pada kali ini, DBP berpeluang mengetengahkan panel-panel forum yang cukup berpengalaman dan mempunyai pengetahuan dalam bidang perpustakaan untuk membahaskan serta membincangkan lebih mendalam mengenai kerelevanan perpustakaan dalam revolusi industri.

    Panel-panel forum semasa membincangkan lebih mendalam mengenai kerelevanan perpustakaan dalam revolusi industri.

    Menurut kenyataan DBP, forum bahasa kali ini menyentuh mengenai ‘Kerelevanan Perpustakaan dalam Revolusi Industri’ di mana hadir selaku ahli panel ialah Pengarah Urusan Syarikat I-Bayan Venture Brunei dan Mantan Ketua Pustakawan Universiti Brunei Darussalam, Dr Haji Awang Suhaimi bin Haji Abdul Karim; Pegawai Perpustakaan Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Dayang Hamiza Diyana binti Awang Hamidoon dan Pegawai Perpustakaan, DBP Brunei, Awang Mohd Yadey Hazabillah bin Haji Mohd Zain.

    Manakala itu, moderator forum ialah Pegawai Perpustakaan Kanan, Politeknik Brunei, Pengiran Hajah Masdiana binti Pengiran Haji Damit. Sekitar 168 orang menyertai forum berkenaan iaitu 24 orang menerusi Facebook Live dan 141 orang menerusi aplikasi zoom.

    Menurut DBP, Tamu Bahasa merupakan salah satu program pemartabatan Bahasa Melayu di bawah payung Bulan Bahasa yang dijalankan sepanjang 2021.

    Dalam erti kata lain, DBP sebagai institusi yang bertanggungjawab mengembangmajukan Bahasa Melayu tetap meneruskan kegiatannya dan salah satu kegiatan dalam Program Tamu Bahasa bagi siri keempat kali ini ialah Forum Bahasa.

    Antara objektif forum itu adalah untuk meningkatkan penglibatan belia dalam menghasilkan karya sastera berbahasa Melayu yang berkualiti dan dapat diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...