PRAGUE, 20 NOV – Sebuah kereta api ekspres bertembung dengan kereta api penumpang lain di selatan Republik Czech hari ini, mengakibatkan puluhan orang cedera, menurut pegawai.
Kemalangan berlaku berhampiran bandar Ceske Budejovice sekitar jam 6:20 pagi.
Seramai 57 orang mengalami cedera ringan, manakala dua cedera serius, menurut perkhidmatan penyelamat wilayah.
Bagaimanapun, sebuah hospital di Ceske Budejovice kemudian memaklumkan bahawa lima orang yang diterima mengalami kecederaan serius.
Perjalanan antara Ceske Budejovice dan bandar Plzen dihentikan dan dijangka tidak disambung semula sehingga petang.
Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kemalangan itu. – AP

