COLOMBO, 20 MEI – Sebuah kereta api ekspres di Sri Lanka telah merempuh seekor gajah liar dan tergelincir dari landasan hari ini, walaupun langkah keselamatan diperkenalkan susulan nahas kereta api paling teruk yang membabitkan hidupan liar negara itu tiga bulan lalu di laluan yang sama.
Pegawai tempatan memaklumkan bahawa seekor gajah liar muda yang sedang melintas landasan berhampiran Habarana telah dilanggar oleh kereta api sama yang terlibat dalam kemalangan pada 20 Februari lalu yang membunuh tujuh ekor gajah.
Selepas insiden tersebut, pihak berkuasa telah menetapkan had kelajuan untuk kereta api yang melalui kawasan habitat gajah.
Tiada penumpang yang cedera dalam kemalangan terbaharu ini yang berlaku kira-kira 180 kilometer dari ibu negara Colombo melalui jalan darat.
Pihak berkuasa kereta api memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan, manakala jurutera sedang berusaha untuk meletakkan semula kereta api dari Colombo ke Batticaloa ke atas landasan selepas pelanggaran yang berlaku sebelum subuh itu.
Terdahulu, pihak berkuasa telah mengumumkan perubahan jadual perjalanan kereta api serta usaha membersihkan semak samun di kedua-dua bahagian landasan bagi meningkatkan jarak penglihatan pemandu, agar mereka dapat mengelak daripada terlanggar gajah.
Pegawai hidupan liar berkata sebanyak 139 ekor gajah telah mati akibat pelanggaran dengan kereta api sejak 17 tahun lalu, apabila data berkaitan mula dikumpulkan.
Kerajaan turut mendedahkan 1,195 orang dan 3,484 ekor gajah telah terbunuh dalam tempoh sedekad yang lalu akibat konflik manusia-gajah yang semakin meruncing di pulau itu.
Membunuh atau mencederakan gajah merupakan satu kesalahan jenayah di Sri Lanka, yang memiliki 7,000 ekor gajah liar dianggap sebagai khazanah negara kerana kepentingannya dalam budaya Buddha. – AFP
