IDUTYWA, AFRIKA SELATAN, 16 JUN – Puluhan penduduk tempatan berbaris tatkala kereta api berhenti di sebuah stesen di kawasan luar bandar terpencil di wilayah Cape Timur Afrika Selatan.
‘Kereta Api Harapan’ itu datang untuk menjalankan pemeriksaan COVID-19 di salah satu pusat penularan virus Afrika Selatan dari klinik bergerak yang dilengkapi khas dalam kereta api itu. Cape Timur ialah wilayah ketiga paling terjejas di Afrika Selatan, menyumbang kepada 14 peratus daripada jangkitan koronavirus di seluruh negara.
Sejak kes pertama dilaporkan pada 5 Mac, negara paling maju dari segi industri di Afrika itu telah mencatat jumlah kes tertinggi di benua, dengan lebih 70,000 jangkitan dan 1,480 kematian.
Sebelum ini beroperasi sebagai perkhidmatan kesihatan am yang menawarkan perkhidmatan pergigian, pemeriksaan mata dan perkhidmatan kaunseling di lebih 70 komuniti luar bandar Afrika Selatan, kereta api yang dibiayai kerajaan itu telah dijadikan lokomotif ‘harapan’ dalam usaha memerangi koronavirus di Afrika selatan. Kereta api yang dikenali sebagai Phelophepa, yang bermakna ‘kesihatan baik, bersih’ dalam bahasa tempatan Sotho dan Tswana, mengelilingi negara selama sembilan bulan setahun. – AFP