HONG KONG, GUANGZHOU – Pada lewat petang Ahad, di Stesen Kowloon Barat Hong Kong, perasaan teruja dan gembira para penumpang menyerlah kerana mereka akan menaiki kereta api berkelajuan tinggi setelah perkhidmatan tersebut digantung selama tiga tahun akibat pandemik COVID.
“Anak saya tidak sabar untuk merasai hidangan istimewa di kampung halaman kami,” kata seorang penumpang bernama Fu, yang sudah dua tahun tidak pulang ke kampungnya di timur laut China. Tidak lama kemudian, dia dan anak lelakinya menaiki kereta api pertama pada waktu pagi ke Shenzhen, di mana dia kemudiannya akan menuju ke kampung halamannya untuk cuti tahun baharu Cina yang akan datang.
Selepas hampir tiga tahun penggantungan perkhidmatan, laluan Ekspres Guangzhou-Shenzhen-Hong Kong beroperasi semula pada Ahad, dengan purata 38.5 buah kereta api berkelajuan tinggi setiap hari beroperasi dari stesen di Guangzhou dan Shenzhen ke Stesen Kowloon Barat Hong Kong pada peringkat awal.
Liao Jun, seorang pelajar dari Wilayah Jiangxi yang belajar di Hong Kong, teruja untuk menaiki kereta api yang paling awal pulang ke tanah besar. “Hari ini akan menjadi hari yang perlu diingati. Penyambungan semula perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi adalah sangat penting kerana menghubungkan keseluruhan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan tanah besar,” katanya.
Kereta api pertama bertolak ke Shenzhen pada pukul 7:03 pagi waktu tempatan. Hanya dalam 18 minit, kereta api itu akan tiba di stesen Shenzhenbei, di mana sebuah kereta api berkelajuan tinggi arah selatan bersedia untuk membawa penumpang ke Hong Kong.
Tingkap kereta api itu dihiasi dengan potongan kertas bertulis ‘Selamat Tahun Baharu’ dan ucapan ‘Selamat Menyambut Tahun Arnab’ yang akan datang, yang jatuh pada 22 Januari.
Di Stesen Kowloon Barat Hong Kong, penumpang yang masuk disambut dengan diberikan hadiah cenderahati yang bertulis ‘Hello, Hong Kong’. Dewan ketibaan dihiasi dengan bunga hiasan yang menandakan nasib baik untuk tahun baru.
“Saya membeli tiket hari ini sebagai tanda kenang-kenangan,” kata seorang ahli pernia-gaan, Bu, yang baru sahaja menaiki kereta api dari Shenzhen ke Hong Kong untuk melawat pelanggannya.
“Perjalanan kereta api ini sangat membantu pekerjaan saya untuk dapat bersemuka dengan pelanggan saya,” katanya.
Menjelang 10 pagi Ahad, sembilan buah kereta api laju menuju ke arah utara dan tujuh buah kereta api laju menuju ke arah selatan, telah membawa kira-kira 1,400 penumpang ke destinasi mereka.
Tiket telah habis dijual untuk kebanyakan perjalanan kereta api. – Xinhua