Friday, March 7, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta api laju dihentikan selepas koc terpisah

    TOKYO, 6 MAC – Sebuah kereta api laju di Laluan Shinkansen Tohoku membuat pemberhentian kecemasan berhampiran sebuah stesen di Tokyo hari ini selepas dua kocnya terpisah, lapor Agensi Berita Kyodo yang memetik East Japan Railway Company (JR East).

    Pengendali kereta api itu berkata insiden berkenaan menyebabkan penggantungan sementara perkhidmatan kereta api laju di Timur Jepun.

    Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini. Kira-kira 650 penumpang berada di dalam kereta api ketika kejadian.

    Menurut JR East, perkhidmatan tren Hayabusa-Komachi, yang terdiri daripada dua kereta api yang disambungkan, didapati terpisah antara Stesen Ueno dan Omiya kira-kira 11:30 pagi dan dihentikan berhampiran Stesen Nishinippori di laluan komuter tempatan untuk pemeriksaan.

    Kedua-dua tren itu sepatutnya dipisahkan kemudian, dengan Hayabusa menuju ke Stesen Shinaomori di Laluan Shinkansen Tohoku dan Komachi ke Akita di Laluan Shinkansen Akita.

    Pengendali kereta api itu berkata perkhidmatan kereta api laju di Laluan Shinkansen Tohoku, Yamagata, Akita, Hokuriku dan Joetsu digantung di beberapa bahagian tertentu susulan insiden itu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda