Monday, March 3, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta berusia lebih 15 tahun dilarang isi minyak di India

    NEW DELHI, 2 MAC – Kereta berusia lebih daripada 15 tahun tidak lama lagi akan diharamkan daripada mengisi minyak di New Delhi, kata kerajaan bandar itu kelmarin, sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan tahap pencemaran berbahaya di ibu negara India itu.

    New Delhi kerap disenaraikan sebagai salah sebuah bandar paling tercemar di dunia dan diselubungi asap setiap tahun.

    Pencemaran itu terutamanya disebabkan oleh pembakaran pertanian oleh petani berhampiran bagi membersihkan ladang mereka untuk membajak, serta kilang dan asap lalu lintas.

    Suhu yang lebih sejuk dan angin yang bergerak perlahan memburukkan keadaan dengan memerangkap bahan pencemar setiap musim sejuk.

    Kereta diesel dan petrol masing-masing berusia lebih 10 dan 15 tahun tidak dibenarkan melalui jalan raya Delhi tetapi banyak yang didapati melanggar peraturan.

    Menteri Alam Sekitar Delhi, Manjinder Singh Sirsa berkata kepada pemberita kelmarin bahawa keputusan untuk melarang minyak untuk kereta lama dibuat pada sesi mesyuarat yang panjang mengenai pencemaran udara untuk mengenal pasti punca dan penawarnya.

    “Kami memutuskan untuk menghentikan pemberian minyak kepada kenderaan berusia lebih 15 tahun selepas 31 Mac 2025,” katanya.

    Beliau berkata peranti akan dipasang di pam petrol untuk mengenal pasti kenderaan tersebut. Sirsa berkata keputusan lain yang diambil termasuk menukar tanah tandus kepada ‘hutan baharu’ dan melibatkan pelajar universiti dalam penanaman. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda