Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta ditenggelami banjir – Apa yang perlu dilakukan?

    Musim banjir yang melanda Lembah Klang dan Selangor di Malaysia telah menyaksikan ribuan kenderaan yang terperangkap dalam banjir.

    Lebih teruk, ada kenderaan yang telah ditenggelami air sepenuhnya. Artikel daripada laman web Carlist Malaysia kali ini ingin mengongsikan cara yang boleh awda lakukan sekiranya kenderaan awda terperangkap dalam situasi seperti ini.

    Pertama sekali, jika enjin kereta awda masih hidup, jangan sesekali redah air banjir walaupun awda menggunakan King Myvi yang dikatakan mampu bergerak dalam apa jua cuaca sekalipun. Kalau awda meredah air banjir yang tinggi, enjin kereta awda berpotensi untuk mati akibat hydrolock.

    RISIKO REDAH BANJIR

    Hydrolock atau hydrostatic lock merujuk kepada keadaan tidak normal yang berlaku pada sebarang alat yang memampatkan gas secara mekanikal, kebiasaannya dalam sistem pembakaran enjin. Air boleh masuk ke dalam enjin apabila pemandu meredah banjir melebihi paras air intake atau ketika bergerak laju yang menyebabkan wujud gelombang air (tall bow wave).

    Oleh kerana cecair yang masuk ke enjin tidak mampat, maka piston tidak boleh melengkapkan pergerakannya dan menyebabkan kematian enjin atau berlaku kegagalan mekanikal. Antara komponen yang berpotensi untuk rosak adalah connecting rod bengkok ataupun patah, crank pecah, head pecah, block pecah, crankcase rosak, bearing rosak, atau gabungan komponen tersebut.

    Hubungi syarikat insurans awda dan jangan cuba-cuba untuk menghidupkan kereta kesayangan awda. – Freepik
    Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang kerap mengalami banjir, awda mungkin memerlukan perlindungan tambahan yang dinamakan Peril Khas ini. – Freepik
    Jangan sesekali meredah air banjir kerana enjin kereta awda berpotensi untuk mati akibat hydrolock. – Freepik
    Perkhidmatan tunda kereta untuk dibawa ke bengkel kebiasaannya dikira standard dan percuma dalam setiap insurans kereta. – Freepik

    Kalau enjin kereta awda tidak dihidupkan ketika ditenggelami banjir, ia tidak akan menyebabkan kerosakan yang teruk pada kereta. Masalah ini boleh diatasi dengan proses purging iaitu mengeluarkan cecair tersebut dari enjin. Yang paling penting, cabut terminal bateri dan bawa keluar segala barang berharga yang ada di dalam kereta awda sebelum meninggalkan kereta.

    Tapi bagi kereta dah ditenggelami banjir, ada beberapa perkara mudah yang boleh awda lakukan untuk menyelesaikan masalah ini. Yang paling penting, pastikan awda telah mengambil perlindungan tambahan seperti perlindungan bencana alam dalam insurans awda.

    PERIL KHAS

    Awda perlu tahu bahawa walaupun awda mengambil insurans komprehensif yang menyeluruh, namun ia tetap tidak akan membayar sebarang pampasan atau ganti rugi kepada awda jika kereta awda rosak teruk akibat bencana alam seperti banjir atau pokok tumbang akibat ribut.

    Perlindungan daripada bencana alam dipanggil Peril Khas. Perlindungan yang diberikan oleh polisi ini termasuklah melindungi kereta awda daripada bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh, tanah gelincir, taufan dan sebagainya.

    Kebiasaannya, harga bagi perlindungan ini ialah 0.5 peratus daripada jumlah yang diinsuranskan. Tetapi ia mungkin berbeza mengikut pengendali takaful dan syarikat insurans. Sebagai contoh, jika jumlah diinsuranskan bagi kenderaan awda adalah RM50,000, awda perlu membayar RM250 setahun. Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang kerap mengalami banjir, awda mungkin memerlukan perlindungan tambahan ini.

    Jika awda telah mengambil insurans bencana alam ini, ikuti langkah ini untuk membuat tuntutan: (i) Hubungi pihak insurans bagi perkhidmatan tunda; (ii) Kumpulkan bukti seperti lokasi, masa, tarikh, gambar, salinan kad pengenalan, salinan lesen memandu, salinan geran dan salinan polisi insurans sebagai rujukan; (iii) Buat laporan polis dalam tempoh 24 jam (jika sempat) bagi memudahkan urusan insurans awda; (iv) Serahkan segala borang tuntutan dan dokumen sokongan kepada ejen insurans; (v) Bawa kereta ke bengkel panel.

    Tetapi, untuk mereka yang tidak mengambil insurans tambahan bencana alam ini, awda masih boleh menghubungi syarikat insurans awda bagi mendapatkan khidmat tunda secara percuma untuk membawa kenderaan awda ke bengkel. Perkhidmatan ini kebiasaannya dikira standard dalam setiap insurans kereta. Hanya jarak perjalanan yang diberikan sahaja mungkin berbeza.

    JANGAN HIDUPKAN ENJIN

    Jika kenderaan awda telah ditenggelami air, jangan sesekali mencuba untuk menghidupkan kenderaan tersebut walaupun air telah surut. Ini bagi mengelakkan masalah yang lebih teruk daripada berlaku kepada enjin kereta awda. Tinggalkan sahaja urusan tersebut pada pihak bengkel yang akan membaik pulih kenderaan awda.

    Jika masih boleh dibaiki, mungkin awda hanya perlu flush minyak enjin beberapa kali bagi memastikan enjin awda bebas daripada air banjir. Setiap air yang masuk ke dalam enjin sentiasa membawa berita buruk kepada akaun bank awda. Tindakan awda cuba untuk menghidupkan enjin mungkin akan membawa lebih banyak kerosakan pada komponen kereta yang hanya akan membawa keburukan, tambahan lagi pada mereka yang tidak mengambil insurans bencana alam.

    Kesimpulannya, pastikan awda dan kereta kesayangan awda telah bersedia bagi menghadapi musim tengkujuh yang kerap kali melanda Malaysia. Segala kerosakan yang mungkin berlaku ketika banjir boleh dikurangkan sekiranya awda mengikuti langkah-langkah yang telah dinyatakan. Jika kawasan awda berpotensi untuk banjir, tinggalkan kereta awda di tempat yang lebih tinggi sebelum banjir terjadi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda